Home Semasa Selamat tinggal Suruhanjaya Penerbangan Malaysia

Selamat tinggal Suruhanjaya Penerbangan Malaysia

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan dibubarkan dan fungsi-fungsi utama MAVCOM dipindahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataannya hari ini berkata Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya semalam telah bersetuju supaya badan kawal selia industri penerbangan Malaysia dirasionalisasi dan diletakkan di bawah satu entiti.

“Inisiatif merasionalisasi badan pengawalseliaan penerbangan awam di bawah satu entiti bukan sahaja dapat mengoptimumkan sumber manusia dan kewangan sedia ada, malah ia dapat  meningkatkan kecekapan tadbir urus serta kualiti penyampaian  perkhidmatan,

“Langkah tersebut adalah selari dengan hala tuju  dasar semasa kerajaan dalam merasionalisasi sektor awam  terutamanya bagi meningkatkan efisiensi dan kecekapan sistem  penyampaian agensi Kerajaan,” katanya.

Menurut Kementerian itu, inisiatif berkenaan dapat mendorong perkembangan industri penerbangan awam supaya lebih  kompetitif dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Kerajaan  komited dalam memastikan pembangunan sektor penerbangan  awam yang moden, mampan, selamat dan efisien selaras dengan  Dasar Pengangkutan Negara 2019-2030,

“Rasionalisasi ini akan melibatkan beberapa perubahan dari segi  perundangan antara lain, pemansuhan Akta Suruhanjaya  Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771] serta pindaan terhadap  Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2017 [Akta  788]. Pemansuhan Akta 771 akan membolehkan fungsi-fungsi MAVCOM kelak dipindahkan kepada CAAM, tambah kenyataan itu.

Manakala dari segi pengurusan sumber manusia pula, Kementerian menjelaskan sebahagian besar  perjawatan di MAVCOM yang melibatkan kepakaran dalam  bidang-bidang tertentu akan dipindahkan di bawah CAAM.

“Pihak Kementerian Pengangkutan selanjutnya akan  menstrukturkan organisasi CAAM baharu yang bersesuaian untuk  memastikan proses rasionalisasi ini dilaksanakan dengan lancar  dengan mengambil kira beban tugas baru yang akan diambil alih  oleh CAAM,” ujarnya.

Sehubungan itu, satu perbincangan terperinci akan diadakan bersama Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Jabatan Peguam Negara mengenai struktur, fungsi, bidang kuasa, implikasi perjawatan, kewangan dan perundangan.

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply