Home Pertahanan dan Keselamatan Padam berita kapal minyak China di Facebook, apa niat sebenar kerajaan? – Najib

Padam berita kapal minyak China di Facebook, apa niat sebenar kerajaan? – Najib

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 12 Dis – Bekas Perdana Menteri, Najib Razak mempersoalkan tindakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memadam catatan perincian di laman Facebook rasmi agensi berkenaan berhubung kapal minyak syarikat China.

Difahamkan kapal tersebut dimiliki oleh syarikat Kunlun Shipping Co Ltd dari China yang tersenarai dalam sekatan Amerika Syarikat. Kapal tersebut turut tidak membenarkan sebarang pemeriksaan oleh pihak penguatkuasaan.

Kapal minyak syarikat China `Silvana III’  yang berlabuh berdekatan Kuala Kurau pada 5 Dis lalu dikatakan tidak mematuhi arahan menurunkan tangga bagi membolehkan penguatkuasa melakukan pemeriksaan.

“Agensi penguatkuasaan kerajaan pun diarahkan untuk padam posting? Apabila media antarabangsa Reuters berhubung dengan agensi tersebut, APMM padam posting mereka pulak,

“Sebenarnya, apa yang  APMM mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) buat?,”soal Najib di akaun media sosial rasmi miliknya.

Menurutnya, adakah pihak APMM mahu PDRM untuk pergi ke China dan merampas kapal Silvana III tersebut.

Tambah Najib, isu ini jelas di bawah Kementerian Luar Negara dan Kementerian Pertahanan.

Najib juga mengesa Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu agar tegas untuk menuntut keadilan demi menebus maruah negara.

Terdahulu, media melaporkan laporan polis telah dibuat terhadap kapal berkenaan kerana menurunkan sauh tanpa kelulusan dan kapal itu akan ditahan jika ditemui, kata APMM dalam laman Facebooknya.

Selepas Reuters meminta butirannya hari ini, catatan APMM di Facebook diturunkan. Jurucakap APMM berkata catatan itu dikeluarkan kerana kejadian sedang disiasat dan tiada butiran lanjut akan didedahkan ketika ini.

Related Articles

Leave a Reply