KUALA LUMPUR, 19 APR – Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan Selat Melaka tidak wajar disamakan dengan Selat Hormuz walaupun kedua-duanya merupakan laluan perdagangan strategik dunia. Pendirian ini dibuat bagi menangkis kebimbangan terhadap kemungkinan ketegangan geopolitik menular ke rantau Asia Tenggara.
Menurutnya, Malaysia bersama Indonesia dan Singapura tidak berdepan situasi seperti Iran yang dikenakan sekatan serta tekanan berterusan.
“Kami akan cuba sedaya upaya memastikan apa yang berlaku di Hormuz tidak berulang di Selat Melaka. Keadaan dan faktor adalah berbeza, dan kita tidak menghadapi situasi seperti Iran,” katanya semasa sesi sidang media, hari ini.
Beliau menegaskan, tiada alasan untuk menyamakan kedua-dua laluan tersebut kerana negara pesisir Selat Melaka berpegang kepada prinsip undang-undang antarabangsa.
“Malaysia, Indonesia dan Singapura adalah negara yang menjunjung prinsip Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, perdagangan bebas serta kebebasan navigasi. Kita mematuhi kedaulatan undang-undang antarabangsa,” ujarnya.
Menurut beliau, sebarang kemungkinan gangguan hanya boleh berlaku sekiranya terdapat tindakan bermusuhan daripada mana-mana negara terlibat, namun situasi sedemikian tidak wujud ketika ini.
Terdahulu, Khaled mengadakan sesi walkabout bagi meninjau persiapan akhir pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security Asia (NATSEC) 2026 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Lawatan itu bertujuan memastikan tahap kesiapsiagaan penganjuran termasuk aspek logistik dan keselamatan berada pada tahap optimum menjelang pembukaan rasmi acara tersebut esok.
DSA dan NATSEC Asia 2026 dijangka menghimpunkan lebih 50,000 pengunjung dari 114 negara serta melibatkan pelbagai program termasuk forum pertahanan dan pemeteraian kerjasama industri. – airtimes.my
