Lawatan rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ke Rusia bukan sekadar simbol diplomasi biasa, sebaliknya membawa makna strategik yang besar kepada hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Keberangkatan Baginda ke Moscow sebagai tetamu kehormat sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-81 Hari Kemenangan di Dataran Merah mencatat sejarah tersendiri apabila Baginda menjadi ketua negara Malaysia pertama menerima penghormatan sedemikian.
Jemputan khas daripada Presiden Russia, Vladimir Putin jelas mencerminkan pengiktirafan tinggi Kremlin terhadap kedudukan Malaysia di rantau Asia Tenggara.
Ia juga menunjukkan hubungan Kuala Lumpur-Moscow kini memasuki dimensi lebih matang merangkumi diplomatik, perdagangan serta kerjasama pertahanan.
Dalam konteks geopolitik semasa, lawatan ini memberi mesej bahawa Malaysia terus mengamalkan dasar luar berkecuali dan terbuka kepada semua kuasa besar dunia.
Malaysia dilihat mengekalkan hubungan baik dengan blok Barat mahupun Rusia tanpa terikat kepada mana-mana pakatan ketenteraan tertentu.
Keberangkatan Baginda ke Moscow atas jemputan Presiden Vladimir Putin merupakan salah satu perkembangan positif dalam dimensi hubungan Malaysia-Rusia. /Gambar: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Antara perhatian utama sepanjang lawatan itu sudah tentu demonstrasi pesawat tempur generasi kelima Rusia, Sukhoi Su-57E di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhukovsky.
Demonstrasi udara hampir tujuh minit itu mempamerkan kemampuan teknologi moden Rusia termasuk ciri halimunan, radar canggih serta keupayaan pelbagai peranan pesawat berkenaan.
Pesawat itu diterbangkan oleh Sergei Bogdan, bekas kolonel tentera udara yang terkenal sebagai juruterbang ujian utama program pembangunan Su-57 dan penerima gelaran ‘Wira Russia’.
Baginda turut diberi taklimat terperinci mengenai kemampuan pesawat tersebut selain berkenan melihat sendiri ruang kokpit Su-57E selepas demonstrasi tamat.
Perkara itu secara tidak langsung mencetuskan semula perbincangan mengenai masa depan program pesawat tempur TUDM.
Sepertimana diketahui, TUDM telah menetapkan rancangan perolehan pesawat tempur baharu menerusi program MRCA, dengan kemungkinan dipercepat dalam Rancangan Malaysia Ke-14 (RMK14) (2026-2030) akibat kelewatan perolehan aset lain.
Walaupun tiada sebarang pengesahan rasmi bahawa Su-57E menjadi pilihan Malaysia, namun pemerhatian terhadap pesawat itu sudah pasti mengundang perhatian ramai pemerhati pertahanan.
Ini kerana Malaysia mempunyai sejarah panjang menggunakan aset udara buatan Rusia termasuk Mikoyan MiG-29N dan Sukhoi Su-30MKM.
Pengalaman mengendalikan dua platform utama Rusia itu memberi kelebihan tertentu kepada TUDM dari aspek latihan, penyelenggaraan dan kefahaman operasi.
Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong menyaksikan penerbangan demonstrasi Su-57 memberikan cerminan tersendiri terhadap persaingan perolehan jet pejuang generasi ke-5 TUDM. /Gambar: FB Sultan Ibrahim Sultan Ismail
Malah, Su-30MKM sehingga kini dianggap antara pesawat tempur paling berkuasa di Asia Tenggara dengan kemampuan manuver dan persenjataan yang digeruni.
Dominasi Su-30MKM dalam ruang udara serantau turut meletakkan Malaysia sebagai antara kuasa udara yang dihormati di rantau ini.
Justeru, potensi pesawat tempur Rusia untuk kembali bersaing dalam program MRCA negara tidak boleh dipandang ringan.
Namun begitu, pemilihan pesawat tempur generasi baharu bukan hanya bergantung kepada kemampuan teknologi semata-mata.
Faktor kos operasi, logistik, sokongan alat ganti, geopolitik dan sekatan antarabangsa juga bakal memainkan peranan penting.
Konflik Rusia-Ukraine misalnya memberi kesan besar terhadap industri pertahanan Rusia termasuk isu rantaian bekalan dan sekatan ekonomi Barat.
Malaysia sudah tentu perlu menilai secara teliti risiko strategik sekiranya memilih platform pertahanan dari Rusia pada masa depan.
Pada masa sama, lawatan rasmi Baginda turut membuka ruang memperluaskan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Rusia kini merupakan rakan perdagangan kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dan ke-28 terbesar di dunia.
Nilai perdagangan dua hala mencecah RM11.46 bilion pada tahun 2024 membuktikan hubungan ekonomi kedua-dua negara terus berkembang.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025 sahaja, jumlah perdagangan Malaysia-Rusia direkodkan sebanyak RM4.13 bilion.
Ini menunjukkan potensi kerjasama baharu dalam bidang teknologi, tenaga, pertahanan dan pendidikan masih luas untuk diterokai.
Keseluruhannya, lawatan rasmi Yang di-Pertuan Agong ke Rusia bukan sahaja mempunyai nilai simbolik diplomatik, malah turut membawa implikasi strategik terhadap landskap pertahanan dan hubungan antarabangsa Malaysia.
Demonstrasi Su-57E yang disaksikan Baginda pula dilihat sebagai gambaran bahawa Rusia masih berminat menawarkan teknologi pertahanan tercanggih mereka kepada Malaysia.




