Home SemasaCendana Auto, UniMAP jalin kerjasama pembangunan teknologi komposit kenderaan

Cendana Auto, UniMAP jalin kerjasama pembangunan teknologi komposit kenderaan

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 21 APRIL – Cendana Auto Sdn Bhd (CASB) bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memeterai kerjasama strategik bagi melaksanakan projek pembangunan teknologi komposit kenderaan sempena Defence Services Asia Exhibition & Conference 2026 (DSA 2026).

Kerjasama itu dimuktamadkan melalui Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang memberi tumpuan kepada projek “Advanced Composite Vehicle Hood: Design, Testing and Structural Development”, sekali gus memperkukuh usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) serta pemindahan teknologi.

Menurut kenyataan, kolaborasi tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam memperkasa pembangunan teknologi automotif berasaskan bahan komposit termaju, khususnya bagi kegunaan industri pertahanan tempatan.

Majlis yang berlangsung sempena DSA 2026 itu turut mencerminkan peranan pameran antarabangsa berkenaan sebagai platform utama dalam merangsang kerjasama antara industri dan institusi akademik, sekali gus memacu inovasi tempatan ke tahap lebih tinggi.

Projek berkenaan bertujuan meningkatkan keupayaan teknologi tempatan melalui pembangunan komponen kenderaan yang lebih ringan, tahan lasak serta mempunyai prestasi struktur yang lebih efektif.

Usaha ini bukan sahaja berpotensi meningkatkan kualiti produk tempatan, malah menyokong agenda mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar dalam sektor strategik negara.

Dalam masa sama, kerjasama itu turut membuka peluang kepada pelajar dan penyelidik UniMAP untuk terlibat secara langsung dalam projek industri sebenar, selaras dengan agenda TVET negara bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

Inisiatif tersebut dijangka menjadi platform penting bagi pemindahan ilmu dan teknologi antara akademia dan industri, sekali gus mempercepatkan proses pengkomersialan hasil penyelidikan tempatan.

CASB menyatakan keyakinan bahawa kerjasama dengan institusi pengajian tinggi seperti UniMAP mampu menjadi pemangkin dalam memperkukuh ekosistem industri yang mampan, berdaya saing dan berteknologi tinggi.

Selain itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut berkenan berangkat ke Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) di antara CASB dan UniMAP. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply