KUALA LUMPUR, 20 APR – Syarikat pengeksport senjata Rusia, JSC ROSOBORONEXPORT, mengesahkan penyertaannya dalam pameran Defence Services Asia (DSA) 2026.
Penyertaan ini mencerminkan usaha Moscow memperkukuh kerjasama teknikal ketenteraan di rantau Asia-Pasifik, termasuk Malaysia.
Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan rasmi syarikat berkenaan sempena penyertaan mereka dalam pameran pertahanan terbesar di Asia Tenggara.
Ketua Pengarah ROSOBORONEXPORT, Alexander Mikheev berkata, pihaknya optimis terhadap hubungan dua hala yang semakin berkembang, khususnya dalam sektor pertahanan.
“ROSOBORONEXPORT merasa bangga mempamerkan produk pertahanan Rusia di Malaysia, kerana mempunyai hubungan ekonomi, budaya, sains, dan teknologi yang kukuh antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Rusia bersedia menyokong keperluan pemodenan Angkatan Tentera Malaysia dengan sistem teknologi terkini.
Antara aset utama yang mencuri tumpuan di reruai ROSOBORONEXPORT ialah pesawat pejuang pelbagai peranan generasi kelima, Su-57E.
Pesawat itu dilihat sebagai pilihan pemodenan yang ideal bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana keserasian dengan armada Sukhoi Su-30MKM sedia ada.
Menurut syarikat itu, Su-57E mempunyai pengalaman tempur sebenar termasuk keupayaan melancarkan peluru berpandu jarak jauh dalam persekitaran peperangan elektronik (ECM) yang sengit.
Selain itu, Rusia turut mempamerkan sistem tanpa pemandu seperti UAV taktikal Supercam S350, dron serangan Lancet-E serta sistem peluru berpandu berlegar KUB-2E, RUS-PE, dan Skat 350M.
Sistem UAV Orlan-10E dan Orlan-30 turut menjadi antara tarikan utama dan digunakan secara meluas di peringkat global.
Dalam masa sama, penyertaan Rusia dalam DSA 2026 kali ini, melibatkan siri perbincangan dengan Kementerian Pertahanan Malaysia serta agensi penguatkuasaan lain dari rantau ini.
Perbincangan itu tertumpu kepada usaha memperluas kerjasama dalam pembangunan teknologi pertahanan. -airtimes.my
