Home Teknologi PertahananCendana Auto, Finland meterai kerjasama melalui pembangunan teknologi dan kejuruteraan

Cendana Auto, Finland meterai kerjasama melalui pembangunan teknologi dan kejuruteraan

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 20 APRIL – Cendana Auto Sdn Bhd (Cendana Auto) dan syarikat dari Finland, Oy Sisu Auto Ab hari ini memeterai kerjasama strategik yang menyasarkan pemerkasaan keupayaan industri pertahanan Malaysia melalui pembangunan teknologi bersama, kecemerlangan kejuruteraan dan penyetempatan platform kenderaan pertahanan.

Cendana Auto dalam satu kenyataan berkata, selaras dengan agenda nasional untuk meningkatkan tahap kebergantungan diri serta ketahanan industri pertahanan negara, kerjasama ini menumpukan kepada pembangunan keupayaan tempatan yang merentasi keseluruhan rantaian nilai.

“Ianya mencakupi aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), kejuruteraan, pemasangan, pembuatan, sehinggalah kepada tahap sokongan kitaran hayat kenderaan.

“Teras kepada perkongsian ini ialah program pembangunan dan kejuruteraan bersama yang akan menyaksikan kedua-dua entiti berkolaborasi dalam reka bentuk serta penyesuaian platform kenderaan termaju,” katanya pada Isnin.

Selain itu, ianya termasuk pembangunan konfigurasi Pemanduan Sebelah Kanan (RHD) yang direka khusus bagi memenuhi tuntutan operasi serantau. Program berkenaan juga akan memberi penekanan terhadap pemindahan teknologi secara berstruktur, pembangunan bersama sistem dan sub-sistem, serta percambahan harta intelek tempatan secara progresif.

Dengan menjadikan penyetempatan keupayaan pengeluaran dan sokongan di Malaysia sebagai antara tonggak utama, kerjasama ini diyakini mampu mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab serantau bagi penyelesaian mobiliti pertahanan.

“Menerusi inisiatif ini, Cendana Auto bakal memperluas dan menaik taraf kemudahan sedia ada syarikat bagi menyokong kelancaran operasi pemasangan dan pembuatan tempatan.

“Ini merangkumi pelaksanaan program Completely Knocked Down (CKD) dan Semi-Knocked Down (SKD), sambil memperdalam penglibatan ekosistem vendor domestik di dalam rantaian bekalan. Usaha kolektif ini akan memantapkan lagi peranan Cendana Auto sebagai pusat sehenti bagi kecemerlangan kejuruteraan di rantau ini,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, perkongsian ini bakal menyumbang kepada pembangunan modal insan negara. Jurutera dan tenaga teknikal tempatan bakal memperoleh pendedahan bernilai mengenai kejuruteraan kenderaan pertahanan termaju, integrasi sistem, dan pematuhan piawaian antarabangsa menerusi aktiviti R&D bersama, program latihan, dan kerjasama di lapangan bersama Sisu Auto.

Secara keseluruhannya, jalinan kerjasama ini menyokong objektif jangka panjang negara dalam membangunkan industri pertahanan yang mampan serta kompetitif. Ia turut memantapkan tahap kesiapsiagaan Angkatan Tentera menerusi penyelesaian mobiliti yang boleh dipercayai dan sedia misi bagi memenuhi keperluan operasi khusus Malaysia.

Inisiatif ini bakal membuka ruang luas bagi produk dan keupayaan buatan Malaysia untuk menembusi pasaran eksport antarabangsa seperti di Asia, Australasia, Timur Tengah, dan Afrika, yang merangkumi kedua-dua pasaran untuk platform RHD dan Pemanduan Sebelah Kiri (LHD). -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply