Home Pameran PertahananDSA 2026: Malaysia kekal hab rantaian bekalan global – Anwar

DSA 2026: Malaysia kekal hab rantaian bekalan global – Anwar

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 20 APR– Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan upacara pembukaan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2026, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Beliau menegaskan kedudukan Malaysia sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan global.

Dalam ucaptamanya, Anwar berkata kestabilan ekonomi dan dasar konsisten menjadi tarikan utama pelabur antarabangsa ke negara ini.

Menurut beliau, dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, Malaysia mencatat aliran masuk dana global melebihi AS$2 bilion ke dalam bon tempatan.

“Keadaan ekonomi negara kekal utuh dengan pertumbuhan 5.2 peratus pada tahun lalu. Ringgit pula diiktiraf sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut,” katanya.

Anwar menjelaskan pertumbuhan ekonomi itu disokong oleh sektor pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa.

Beliau menambah, pencapaian ini hasil komitmen berterusan kerajaan terhadap reformasi dasar serta penglibatan aktif dengan pelabur global.

“Pelabur melihat kerajaan yang menunaikan komitmen. Mereka juga melihat ekonomi yang kekal stabil walaupun persekitaran global mencabar,” kata beliau.

Dalam masa sama, beliau menegaskan keupayaan industri tempatan dalam sektor aeroangkasa dan pertahanan semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa. Syarikat tempatan kini menghasilkan komponen pesawat komersial serta aero-enjin yang digunakan di seluruh dunia.

Sehubungan itu, Anwar menggesa syarikat pertahanan dan aeroangkasa antarabangsa untuk bekerjasama dengan pengeluar tempatan.

“Malaysia mengamalkan dasar berkecuali aktif. Ini membolehkan hubungan kerja dengan semua rakan utama tanpa komplikasi politik dalam rantaian bekalan,” jelas beliau.

Menurutnya, budaya ketepatan dan akuantibiliti dalam industri komersial turut relevan dalam sektor pertahanan.

Dalam aspek tadbir urus, kerajaan memberi jaminan perlindungan harta intelek, penguatkuasaan kawalan perdagangan strategik serta pematuhan kontrak. Beliau menegaskan undang-undang akan dilaksanakan secara adil tanpa pengecualian.

Selain itu, Anwar turut menyentuh cabaran teknologi baharu seperti sistem autonomi, kecerdasan buatan dan keupayaan siber. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply