Home Pameran PertahananDSA 2026 catat lonjakan penyertaan, himpunkan 1,456 syarikat global

DSA 2026 catat lonjakan penyertaan, himpunkan 1,456 syarikat global

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 19 APR – Pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security Asia (NATSEC) 2026 kali ini, mencatat peningkatan penyertaan dari pelbagai syarikat serta negara berbanding edisi lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penganjuran kali ini menghimpunkan 1,456 syarikat dari 63 negara. Jumlah ini meningkat berbanding 1,324 syarikat dari 60 negara pada edisi 2024.

“Untuk tahun ini, kita menyediakan 37 pavilion negara berbanding 38 pada edisi lalu,” katanya pada sidang media semasa sesi walkabout di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 368 syarikat tempatan mengambil bahagian dalam edisi ke-19 pameran tersebut.

Menurutnya, tema penganjuran tahun ini menekankan peranan teknologi moden sebagai teras kepada pertahanan dan keselamatan masa hadapan. Pendekatan ini selari dengan keperluan global dalam menghadapi ancaman baharu.

“Teknologi moden akan menjadi asas kepada masa depan pertahanan dan keselamatan semua negara,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Khaled menjelaskan penganjuran DSA dan NATSEC Asia 2026 tetap diteruskan walaupun berdepan cabaran geopolitik termasuk konflik di Asia Barat. Malaysia mengekalkan peranan sebagai platform neutral dan terbuka kepada semua negara.

“Bagi edisi kali ini, Iran tidak dapat menyertai walaupun sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk mengambil bahagian. Syarikat dari negara tersebut menarik diri susulan konflik semasa,” katanya.

Dalam pada itu, China mencatat penyertaan terbesar dengan 192 syarikat, diikuti Amerika Syarikat serta beberapa negara lain. Selain itu, lima negara baharu turut menyertai pameran kali ini.

Penganjuran ini dijangka memperkukuh keupayaan industri pertahanan tempatan, khususnya dalam aspek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) aset. Acara dwitahunan ini terus menjadi platform utama industri pertahanan dan keselamatan serantau.

Media sebelum ini melaporkan DSA merupakan antara pameran pertahanan terbesar di rantau ini dan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply