KUALA LUMPUR, 23 APR – Pameran Defence Services Asia (DSA) 2026 disifatkan sebagai sangat berjaya serta berperanan sebagai platform strategik kepada industri pertahanan tempatan. Ia membuka ruang kerjasama dengan syarikat antarabangsa serta memperkukuh diplomasi pertahanan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penglibatan syarikat tempatan dalam pameran itu menunjukkan perkembangan positif khususnya dalam membina rangkaian dengan pengeluar peralatan asal (OEM).
“Pameran seperti ini membolehkan syarikat tempatan membina pakatan dengan pemain industri global dan menjadi sebahagian daripada rantaian vendor antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penutup DSA 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Menurut beliau, platform tersebut turut membantu syarikat tempatan dikenali oleh OEM sekali gus memudahkan pematuhan syarat kerajaan yang menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus kandungan tempatan dalam setiap perolehan.
“Pameran ini juga membolehkan OEM mengenal pasti syarikat tempatan yang berkeupayaan melaksanakan kerja penyelenggaraan tanpa perlu menyerahkan semula kepada pihak luar,” jelasnya.
Mengulas isu keselamatan serantau, beliau menegaskan bahawa Selat Melaka kekal dalam keadaan aman dan tidak memerlukan campur tangan mana-mana kuasa luar.
“Selat Melaka ini keadaannya amat aman, tiada halangan terhadap kapal yang lalu-lalang. Tidak ada sebab untuk mana-mana negara, sama ada kuasa kecil atau besar, menyatakan hasrat untuk mengawal kerana negara di rantau ini mampu menguruskannya,” katanya.
Beliau menambah, sebarang tindakan di kawasan itu perlu mendapat persetujuan bersama negara pesisir iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.
Dalam perkembangan lain, beliau enggan mengulas lanjut berhubung keengganan Iran menyertai rundingan seterusnya, namun berharap konflik tersebut dapat diselesaikan segera.
“Saya tidak mahu mencetuskan keadaan yang boleh mengganggu usaha rundingan. Saya hanya berharap konflik ini dapat ditamatkan segera dan semua pihak terus berusaha ke arah itu,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau menekankan bahawa diplomasi pertahanan merupakan elemen penting dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa.
“Dalam kita berhadapan cabaran pertahanan dan keselamatan, ia bukan hanya bergantung kepada aset atau kekuatan pasukan. Yang penting ialah diplomasi pertahanan,” katanya. – airtimes.my
