Home SemasaUPNM, GTA meterai kerjasama perkukuh penyelidikan pertahanan

UPNM, GTA meterai kerjasama perkukuh penyelidikan pertahanan

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 21 APR – Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Global Turbine Asia (GTA) Sdn. Bhd. memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik industri dan akademia. Langkah ini dilihat sebagai usaha memperkasa penyelidikan pertahanan serta pembangunan bakat negara.

UPNM dalam satu kenyataan memaklumkan, kerjasama tersebut merangkumi bidang penyelidikan dan pembangunan, pembangunan modal insan, bantuan profesional serta tanggungjawab sosial korporat. Inisiatif ini turut menggabungkan kepakaran industri dengan keupayaan akademik bagi menyokong keutamaan nasional dalam inovasi dan teknologi.

“Memorandum ini mencerminkan komitmen bersama dalam merapatkan jurang antara industri dan akademia demi kemajuan negara. Kerjasama ini menggabungkan kepakaran industri dan kecemerlangan akademik untuk menyokong keutamaan negara,” kata kenyataan itu.

Majlis pertukaran dokumen tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad dan Pengerusi Eksekutif GTA, Dato’ Nonee Ashirin Mohd Radzi.

Kerjasama ini turut memberi penekanan kepada program latihan, pertukaran ilmu serta pembangunan bakat melalui inisiatif bersama. Selain itu, kedua-dua pihak akan berkongsi kepakaran teknikal dan perkhidmatan perundingan dalam kerangka Coalition of Defence Industry Malaysia.

Menurut kenyataan itu, MoU berkenaan dijangka memberi manfaat langsung kepada pelajar serta penyelidik UPNM, di samping memperkukuh keupayaan industri pertahanan negara secara menyeluruh.

Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Pelan Strategik UPNM 2025 hingga 2030 yang menyasarkan universiti itu sebagai institusi premier dalam bidang pertahanan dan keselamatan di peringkat nasional serta antarabangsa.

Majlis Pertukaran Memorandum Kerjasama dan pelancaran produk pertahanan itu diadakan di Pavilion MINDEF sempena pameran DSA dan NATSEC Asia 2026 di MITEC, hari ini. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply