KUALA LUMPUR, 21 APR– Kementerian Dalam Negeri (KDN) meneruskan perolehan kapal Multi Purpose Mission Ship kedua untuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Perkara itu diumumkan semasa majlis menandatangani kontrak perolehan kapal berkenaan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.
Majlis tersebut disaksikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Kontrak MPMS kedua itu dianugerahkan kepada syarikat Desan Shipyard dari Turkiye dengan nilai USD83.75 juta.
Menurut KDN, perolehan kapal kedua itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12, Rolling Plan Kelima Tahun 2025. Tempoh pelaksanaan projek ditetapkan selama 24 bulan bermula 1 Februari 2026 hingga 31 Januari 2028.
Pembinaan MPMS pertama oleh limbungan sama kini mencapai kemajuan 68.91 peratus. Projek itu juga mendahului jadual sebanyak 2.91 peratus, bersamaan 20 hari lebih awal daripada perancangan asal.
Saifuddin Nasution berkata, pemeteraian kontrak itu sekali gus menunjukkan kesinambungan program MPMS sebagai antara langkah utama memperkukuh aset maritim negara.
“Perolehan aset strategik seperti MPMS adalah sebahagian daripada keutamaan kerajaan MADANI dalam memastikan keselamatan maritim negara sentiasa berada pada tahap tertinggi,” katanya.
Kontrak tersebut ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Ali Jeman bersama wakil Desan Shipyard, Cenk Ismail Kaptanoglu.
Dalam perkembangan berkaitan, KDN memaklumkan surat perjanjian perolehan MPMS kedua telah diserahkan kepada Desan Shipyard pada 7 Januari lalu. Penyerahan itu dilakukan semasa lawatan rasmi Perdana Menteri ke Ankara, Turkiye.
Menurutnya, kemajuan projek kapal pertama menjadi penanda aras penting terhadap keupayaan limbungan memenuhi jadual ditetapkan. Prestasi semasa turut meningkatkan keyakinan terhadap penyiapan kedua-dua kapal.
“Prestasi semasa MPMS pertama mendorong keyakinan bahawa kedua-dua kapal berpotensi disiapkan lebih awal daripada tempoh yang dirancang,” katanya.
Bagaimanapun, tarikh penyerahan serta spesifikasi teknikal kapal berkenaan tidak diperincikan.
Turut hadir sama, Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah. -airtimes.my
