Home DiskusiPerang dagangan dan dron: medan tempur baharu bernama rantaian bekalan

Perang dagangan dan dron: medan tempur baharu bernama rantaian bekalan

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

Peperangan dron masa kini tidak hanya berlaku di ruang udara rendah, parit pertahanan atau garisan hadapan. Ia juga berlaku jauh dari medan tempur, di kilang cip, lombong nadir bumi, pelabuhan, gudang bateri, laluan eksport dan meja rundingan perdagangan.

Inilah kaitan paling penting antara perang dagangan dengan peperangan dron. Dron mungkin kelihatan kecil dan murah, tetapi ia bergantung kepada rantaian bekalan yang luas: cip, kamera, motor, magnet, bateri litium, gentian optik, sensor, perisian, sistem komunikasi dan bahan mentah strategik. Apabila negara besar mengenakan tarif, sekatan eksport atau kawalan teknologi, kesannya boleh sampai kepada unit kecil yang memasang dron taktikal di medan perang.

 

Perang dagangan hari ini bukan lagi sekadar perebutan pasaran. Ia sudah menjadi alat geopolitik. UNCTAD menyatakan perdagangan global masih menunjukkan daya tahan pada awal 2025, tetapi keadaan itu berlaku di tengah-tengah kenaikan tarif dan ketegangan geopolitik yang semakin menekan sistem perdagangan dunia. Dalam konteks pertahanan, tekanan ini lebih serius kerana komponen awam dan komersial kini digunakan secara langsung dalam sistem ketenteraan, termasuk dron.

 

China menjadi contoh paling jelas. Beijing memperketat kawalan eksport terhadap unsur nadir bumi dan bahan berkaitan dengan alasan keselamatan negara.

 

Pengumuman rasmi Kementerian Perdagangan China pada Oktober 2025 menyatakan eksport item tertentu yang mengandungi atau menggunakan unsur nadir bumi asal China memerlukan permit eksport dwiguna, manakala permohonan berkaitan pengguna tentera atau kegunaan ketenteraan pada prinsipnya tidak akan diluluskan.

 

Bagi peperangan dron, langkah seperti ini membawa kesan langsung. Banyak dron kecil bergantung kepada motor elektrik, magnet kekal, bateri, sensor dan komponen elektronik yang mempunyai jejak rantaian bekalan China. RUSI menilai usaha memisahkan rantaian bekalan dron daripada China memerlukan pelaburan dalam pengeluaran domestik bagi komponen kritikal seperti semikonduktor, magnet kekal dan sensor.

 

Perang di Ukraine menunjukkan tekanan ini dengan jelas. Ukraine cuba mengurangkan pergantungan kepada komponen China dengan membangunkan pengeluaran tempatan dan mencari pembekal alternatif seperti Taiwan, khususnya dalam semikonduktor, mikroelektronik dan teknologi bateri. Namun, laporan terbaru menunjukkan pemisahan penuh daripada komponen China masih sukar kerana faktor kos, ketersediaan dan skala pengeluaran.

 

Di sinilah menjadi titik perang dagangan menjadi sebahagian daripada peperangan dron. Negara yang mampu mengawal bekalan komponen bukan sahaja mengawal harga, tetapi juga tempo perang. Jika bekalan kamera terganggu, pengeluaran dron pengawasan boleh perlahan. Jika bateri atau magnet sukar diperoleh, dron serangan kecil menjadi lebih mahal. Jika cip atau sensor disekat, sistem panduan dan kawalan mungkin terjejas.

 

Maknanya, kekuatan dron bukan hanya bergantung kepada reka bentuk. Ia bergantung kepada kemampuan industri menghasilkan dron dalam jumlah besar, mengganti kerugian dengan cepat dan menyesuaikan komponen apabila bekalan berubah. Dalam peperangan moden, kadar pengeluaran boleh menjadi sama penting dengan ketepatan serangan.

 

Bagi negara kecil dan sederhana, termasuk Malaysia, pengajaran utamanya ialah rantaian bekalan pertahanan tidak boleh dilihat sebagai isu ekonomi semata-mata. Keupayaan dron memerlukan ekosistem: perolehan, penyelenggaraan, latihan operator, keselamatan siber, peperangan elektronik, sistem antidrone, industri komponen dan akses kepada bahan kritikal. Tanpa ekosistem itu, dron hanya menjadi pembelian aset, bukan keupayaan yang tahan lama.

 

Perang dagangan dan peperangan dron akhirnya bertemu pada satu persoalan: siapa yang mampu mengekalkan bekalan ketika krisis? Negara yang hanya membeli platform mungkin mampu memulakan program dron. Tetapi negara yang menguasai komponen, data, perisian, latihan dan rantaian bekalan akan lebih bersedia untuk bertahan apabila konflik berpanjangan.

 

Peperangan dron menunjukkan masa depan medan tempur semakin murah pada permukaan, tetapi semakin kompleks di belakang tabir. Perang dagangan pula menunjukkan bahawa komponen kecil boleh menjadi senjata strategik. Dalam dunia seperti ini, kuasa sebenar bukan hanya berada pada dron yang terbang, tetapi pada rantaian bekalan yang membolehkan dron itu terus terbang. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply