KUALA LUMPUR, 21 APR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan bahawa kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran kuantum dan teknologi deepfake berpotensi menggugat keselamatan rantau jika tidak ditadbir dengan rapi.
Dalam titah baginda di Pusat Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), sempena DSA 2026, baginda menegaskan kemajuan teknologi kini perlu dilihat sebagai faktor yang boleh mengubah imbangan risiko secara mendadak.
Menurut baginda, teknologi tidak lagi sekadar pemacu pembangunan, sebaliknya turut memberi kesan besar kepada domain ketenteraan, siber, ekonomi serta kestabilan sosial.
“Teknologi baharu seperti AI, pengkomputeran kuantum, bioteknologi dan komunikasi maju sememangnya menawarkan alat berkuasa untuk meningkatkan keselamatan seperti mengesan ancaman siber secara masa nyata serta bertindak balas dengan lebih pantas,” titah baginda.
Namun, baginda menegaskan keupayaan itu turut membawa risiko yang tidak boleh dipandang ringan. Penggunaan AI dalam konteks ketenteraan berpotensi mencetuskan konflik tidak sengaja apabila manusia terlalu bergantung kepada automasi.
“Keputusan hidup dan mati yang diserahkan kepada mesin akan menimbulkan persoalan moral dan undang-undang yang amat serius,” titahnya lagi.
Sultan Nazrin turut mengingatkan bahawa kesilapan dalam sistem berasaskan AI, khususnya melibatkan senjata atau pengurusan ancaman berisiko tinggi, boleh membawa akibat besar.
“Sebarang kesilapan penghakiman oleh mesin, kegagalan model atau manipulasi maklumat boleh mencetuskan kesan yang jauh lebih besar berbanding gangguan teknikal biasa,” tegasnya.
Baginda menambah, pengkomputeran kuantum pula berpotensi melemahkan sistem penyulitan sedia ada. Perkara ini memberi cabaran besar kepada keselamatan data dalam era digital.
Dalam konteks ekonomi dan pentadbiran, ancaman terhadap data tidak lagi sekadar kebocoran maklumat. Ia kini melibatkan isu kedaulatan negara serta daya tahan institusi.
“AI yang memecahbelahkan pada hakikatnya adalah senjata,” titah baginda.
Menurut baginda, serangan siber terhadap sistem kewangan serantau mampu mengganggu ekonomi dalam tempoh singkat. Pada masa sama, kebocoran data sensitif boleh menjejaskan kedaulatan tanpa sebarang konflik bersenjata.
Sehubungan itu, baginda menegaskan negara di rantau ini perlu memahami teknologi yang memacu perubahan. Dalam suasana persaingan kuasa besar yang semakin meluas, kelemahan dalam tadbir urus teknologi boleh menjadi titik rapuh kepada keselamatan negara dan rantau. – airtimes.my
