Home Keselamatan SiberSPF Cyber Command: AI sebagai senjata baharu tangani jenayah siber

SPF Cyber Command: AI sebagai senjata baharu tangani jenayah siber

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Dalam kehidupan moden yang semakin bergantung kepada teknologi, urusan harian kini banyak bergerak melalui ruang digital. Jika dahulu kebergantungan kepada teknologi adalah kurang berbanding kini yang memerlukan teknologi untuk melakukan sebarang urusan, termasuk transaksi wang.

Tidak dinafikan, kemudahan ini mempercepatkan urusan harian, namun pada masa sama membuka ruan kepada penjenayah untuk menjerat mangsa dengan cara yang lebih licik. Sindiket penipuan digital bukan lagi sekadar dari panggilan palsu atau mesej rambang. Sindiket kini menggunakan laman web palsu, aplikasi, akaun media sosial, penyamaran identiti dan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk meyakinkan mangsa.

Di Singapura, isu ini semakin serius apabila lebih 37,000 kes penipuan direkodkan pada 2025, dengan jumlah kerugian melebihi S$900 juta.

Tindak balas kepada pengesanan awal

Menyedari ancaman yang semakin kompleks, Singapura melalui Menteri Negara bagi Ehwal Dalam Negeri, Goh Pei Ming, mengumumkan penubuhan SPF Cyber Command atau Komnad Siber Pasukan Polis Singapura (SPF) yang dijadualkan bermula pada Julai 2026. Unit ini akan menyatukan keupayaan jenayah siber dan antipenipuan sedia ada di bawah satu perintah, selain memabangunkan keupayaan baharu utnuk meningkatkan keberkesanan operasi.

Ini bukan sekadar penambahan unit biasa, tetapi satu revolusi teknologi yang meletakkan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai “perisai digital” utama negara. Langkah ini menunjukkan kepolisan digital tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada laporan selepas mangsa mengalami kerugian. Dalam dunia jenayah siber, masa menjadi faktor penting. Semakin lambat sesuatu pautan palsu, akaun keldai atau transaksi mencurigakan dikenal pasti, semakin besar ruang untuk sindiket memindahkan wang dan memadam jejak operasi.

AI dan Automasi: Detektif Digital 24/7

Di bawah Komand Siber SPF, sebuah Pusat Operasi Siber akan diwujudkan untuk menganalisis aktiviti jenayah dalam talian, mengenal pasti infrastruktur yang digunakan penjenayah siber dan membantu menjejaskan operasi mereka pada peringkat lebih awal.

Berbeza dengan pemantauan manual, sistem AI ini mampu mengesan kempen pancingan data (phishing) pada skala besar serta menjejak sumber yang berkaitan. Sistem automasi boleh menapis jumlah data yang besar, mengesan pola mencurigakan dan memberi petunjuk awal kepada penyiasat. Namun, AI bukan pengganti manusia, ia lebih tepat dilihat sebagai alat sokongan yang membantu pegawai polis membuat keputusan dengan lebih pantas dan tersusun.

Penggunaan AI juga penting kerana penipu sendiri semakin memanfaatkan teknologi yang sama. Kementerian Ehwal Dalam Negeri Singapura sebelum ini memaklumkan bahawa penipu menggunakan AI dan kejuruteraan sosial, termasuk teknologi deepfake dalam panggilan video langsung untuk menyamar sebagai eksekutif kanan atau pegawai kerajaan. Ini menjadikan keupayaan pengesanan awal semakin penting dalam melindungi masyarakat.

Evolusi Unit Barisan Hadapan

Menurut Goh, unit ini akan menggabungkan keupayaan sedia ada dalam membanteras jenayah siber dan antipenipuan di bawah satu perintah tunggal. Sebagai permulaan, seramai 200 pegawai pakar dalam bidang operasi, penyiasatan, dan risikan akan ditempatkan di unit barisan hadapan ini.

“Pusat Kawalan Siber akan menjadi unit barisan hadapan dan akan bermula dengan kira-kira 200 pegawai merentasi keupayaan operasi, penyiasatan dan risikan,” katanya pada perasmian Persidangan Antipenipuan 2026.

Dalam pada itu, jumlah itu juga dijangka meningkat kepada 400 pegawai apabila komand tersebut beroperasi sepenuhnya seiring Pusat Kawalan Polis yang lain. Langkah ini membuktikan bahawa pihak berkuasa tidak lagi hanya bertindak balas terhadap laporan, tetapi membina sebuah “tentera digital”, yang memiliki kekuatan tenaga kerja dan kepakaran teknikal untuk menumpaskan sindiket antarabangsa.

Menjejak Wang Haram melalui Risikan Rantaian Blok

Salah satu penekanan penting ialah, perluasan peranan Pusat Antipenipuan Singapura untuk menangani jenayah berkaitan mata wang kripto. Aset digital sering digunakan dalam penipuan kerana ia boleh dipindahkan dengan pantas merentasi sempadan dan sukar dikesan. Namun, transaksi tertentu masih boleh meninggalkan jejak yang dapat dianalisis melalui risikan rantaian blok.

Pada April 2026, Pasukan Polis Singapura memaklumkan bahawa Pusat Antipenipuan dan Cawangan Siasatan Siber bekerjasama dengan beberapa bursa kripto, termasuk Coinbase, Coinhako, Gemini, Independent Reserve, StraitsX dan Upbit. Operasi selama sebulan itu menggunakan analisis rantaian blok dan membantu mencegah potensi kerugian lebih S$2.86 juta, selain mengenal pasti lebih 90 mangsa.

Keupayaan seperti ini menunjukkan bahawa perang melawan penipuan digital bukan hanya berlaku di meja siasatan. Ia turut memerlukan kerjasama antara polis, bank, platform digital, syarikat teknologi dan penyedia perkhidmatan kripto. Tanpa pertukaran maklumat yang cepat, penjenayah akan sentiasa mempunyai kelebihan masa.

Memulihkan Kepercayaan dalam Ekonomi Digital

Sindiket penipuan tidak hanya melibatkan kerugian harta dan wang. Ia juga menggugat kepercayaan orang awam terhadap ekonomi digital. Apabila pengguna berasa tidak selamat untuk membuat transaksi dalam talian, keyakinan terhadap perbankan digital, e-dagang dan perkhidmatan kerajaan dalam talian boleh terjejas.

Justeru, penubuhan pusat yang telus dan efisien, boleh dilihat sebagai usaha membina pertahanan digital yang lebih proaktif. Namun, kejayaannya tidak boleh diukur semata-mata melalui jumlah pegawai atau penggunaan AI. Ukuran yang lebih penting ialah sejauh mana unit ini mampu mengesan ancaman awal, mengganggu sindiket, mempercepat kerjasama industri dan membantu mangsa sebelum kerugian menjadi lebih besar.

Bagi negara serantau, termasuk Malaysia, perkembangan ini wajar diperhatikan. Penipuan digital bersifat rentas sempadan dan tidak berhenti pada garis negara. Teknologi boleh menjadi alat jenayah, tetapi dengan tadbir urus, risikan dan kerjasama yang betul, teknologi yang sama juga boleh menjadi benteng penting dalam melindungi masyarakat. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply