Home Keselamatan Siber SKMM tarik balik sekatan akses Grok susulan jaminan keselamatan tambahan oleh X

SKMM tarik balik sekatan akses Grok susulan jaminan keselamatan tambahan oleh X

A+A-
Reset

CYBERJAYA, 23 JAN – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini mengumumkan bahawa sekatan akses sementara yang dikenakan ke atas aplikasi Grok di platform X telah ditarik balik berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan tersebut dibuat susulan pengesahan rasmi daripada pihak X berhubung pelaksanaan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan tambahan pada aplikasi berkenaan.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, ketetapan untuk membenarkan semula akses kepada Grok dicapai hasil daripada satu mesyuarat yang diadakan pada 21 Januari 2026.

“Mesyuarat berkenaan diadakan bagi mendapatkan penjelasan dan komitmen pihak platform X berhubung langkah pencegahan serta pematuhan undangundang Malaysia, di mana pihak X telah mengesahkan bahawa langkah keselamatan yang diperlukan telah dilaksanakan terhadap aplikasi Grok.

“Setelah mengambil kira penjelasan dan pengesahan awal yang dikemukakan, MCMC telah menarik balik sekatan akses sementara yang dikenakan terhadap aplikasi Grok, tertakluk kepada pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa,” kata SKMM dalam kenyataan.

Pihak SKMM menambah, kebenaran akses ini masih tertakluk kepada pemantauan berterusan oleh pihak berkuasa bagi memastikan tiada pelanggaran berulang.

Suruhanjaya itu turut menegaskan bahawa keselamatan pengguna kekal sebagai keutamaan dan sebarang kegagalan pematuhan pada masa hadapan akan ditangani dengan tindakan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang semasa.

Semalam, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyatakan pihak SKMM telah mengeluarkan notis pada 3 dan 8 Januari 2026 lalu bagi mengkehendaki langkah pencegahan segera dilaksanakan.

Notis susulan dikeluarkan pada 16 Januari lalu bagi meminta pihak X.AI Corp dan xAI LLC untuk melaksanakan kawalan kandungan dan mekanisme keselamatan terhadap Grok AI.

“Susulan ketiadaan tindakan pencegahan yang berkesan, MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan internet untuk melaksanakan sekatan sementara akses kepada aplikasi GROK  sebagai langkah mitigasi risiko segera,” katanya di Dewan Rakyat semasa sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri pada Khamis.

Menurut beliau, MCMC setakat ini merekodkan 17 aduan dan laporan berkaitan aplikasi GROK, termasuk 6 aduan rasmi kepada MCMC, 2 laporan polis, 8 aduan melalui penandaan media sosial serta satu laporan awal yang dibuka oleh MCMC.

Beliau menjelaskan, langkah kawal selia ini sejajar dengan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, selain selari dengan amalan kawal selia antarabangsa yang turut dilaksanakan oleh negara seperti Indonesia dan Filipina.

Dalam masa sama, kerajaan memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus AI bagi jangka panjang, termasuk pemantauan berterusan dan peningkatan kesedaran awam, khususnya bagi melindungi kanak-kanak, keluarga dan golongan rentan.

“Isu X dan GROK ini bersifat hibrid kerana ia melibatkan platform media sosial dan aplikasi AI. Oleh itu, pendekatan kawal selia perlu lebih menyeluruh,” katanya. – airtimes.my

#Airtimes #GROKAI #MCMC #mediasosial #Malaysia

KATA KUNCI : Grok AIkecerdasan buatan (AI)Kementerian KomunikasiSuruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM)

Leave a Reply