KUALA LUMPUR, 31 MAC – Anggota MALBATT 850-13 telah diarahkan untuk tidak melaksanakan sebarang pergerakan operasi buat masa ini sebagai langkah berjaga-jaga selaras dengan arahan Markas UNIFIL.
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan, arahan tersebut dikeluarkan susulan perkembangan situasi keselamatan di Selatan Lubnan yang semakin meruncing dalam tempoh 24 jam lalu.
Menurut kenyataan itu, dua insiden berasingan telah berlaku melibatkan pasukan pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), termasuk letupan projektil berhampiran Adchit Al Qusayr serta insiden letupan peranti letupan buatan sendiri (IED) yang melibatkan kontinjen Indonesia (INDOBATT).
Insiden berkenaan dilaporkan telah mengorbankan anggota pengaman serta menyebabkan beberapa yang lain mengalami kecederaan serius.
“Kementerian merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban serta mendoakan agar anggota yang cedera diberikan kesembuhan segera,” menurut kenyataan itu.
Malaysia turut menegaskan bahawa sebarang serangan terhadap pasukan pengaman adalah pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Dalam masa sama, tahap keselamatan di kawasan misi turut dipertingkat melibatkan semua kontinjen.
Langkah tersebut merangkumi pematuhan berterusan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP), pengukuhan pelaksanaan Rules of Engagement (ROE), pemberhentian sementara rondaan, peningkatan langkah perlindungan pasukan serta penilaian situasi secara berterusan.
Pada masa ini, semua anggota MALBATT 850-13 disahkan berada dalam keadaan selamat.
Kementerian menegaskan keselamatan anggota kekal menjadi keutamaan utama kerajaan, dengan setiap penugasan dan pergerakan dilaksanakan secara berhati-hati berdasarkan penilaian situasi semasa serta arahan operasi UNIFIL. –airtimes.my


