Nahas melibatkan sebuah pesawat F/A-18D Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Ogos lalu telah menjejaskan jumlah operasi pesawat tempur utama negara.
Dalam keadaan jumlah pesawat yang semakin mengecil, keperluan untuk menyusun semula keupayaan tempur TUDM menjadi semakin mendesak.
Sejak memasuki inventori pada akhir 1990an, Hornet bukan sahaja melonjakkan keupayaan pertahanan udara Malaysia, malah menjadi aset pelbagai peranan yang sangat penting kepada TUDM.
Keupayaan operasi jarak jauh, serangan maritim dan permukaan serta keberkesanan dalam gabungan sistem NATO menjadikan pesawat ini antara tulang belakang pertahanan udara negara sehingga hari ini.
Perolehan Hornet menjadikan Malaysia sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mengoperasikan pesawat sedemikian di rantau ini.
Secara tidak langsung, ia turut meletakkan kita dalam kedudukan istimewa dalam hubungan pertahanan dengan Washington.
Pembelian Hornet membuka ruang peningkatan kerjasama ketenteraan, latihan bersama, akses kepada teknologi serta saluran diplomatik yang lebih erat.
Walaupun platform ini sudah melepasi dua dekad usia perkhidmatan, keupayaan Hornet masih relevan, terutama selepas beberapa program naik taraf yang dilakukan TUDM.
Namun, ada ketidakseimbangan kepada TUDM khususnya dalam faktor usia selain kehilangan aset akibat nahas.
Sekali lagi, cadangan kerajaan untuk mendapatkan pesawat Hornet terpakai dari Kuwait mendapat perhatian susulan lawatan kerja Panglima TUDM, Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris ke Ahmed Al-Jaber Air Base, Kuwait
Ia bagi meninjau perkembangan pelaksanaan penilaian teknikal ke atas pesawat F/A-18C/D milik Kuwait.
Penilaian teknikal yang berlangsung dari 11 hingga 26 November ini dilaksanakan oleh Tim Penilaian TUDM yang terdiri daripada lapan pegawai merangkumi kepakaran juruterbang, kejuruteraan dan materiel.
Hasil penilaian teknikal ini akan menjadi asas rujukan kepada TUDM dan kerajaan dalam menilai secara menyeluruh potensi perolehan pesawat tersebut, selaras dengan kepentingan strategik negara serta keperluan pertahanan jangka panjang.
Walaupun isu perolehan Hornet terpakai Kuwait ini telah dikupas banyak kali, cuma situasi semasa menjadikannya lebih relevan.

TUDM memerlukan pesawat pengganti bagi mengekalkan sekurang-kurangnya kekuatan minimum skuadron tempur.
Sekiranya perolehan ini dipersetujui, ia memberi ruang kepada TUDM untuk menarik nafas lega kerana penyusutan bilangan pesawat dapat diseimbangkan semula.
Sehingga kini, jumlah sebenar pesawat yang ingin dimiliki masih belum diumumkan, namun berdasarkan analisis logistik dan operasi, angka sekitar 18 buah termasuk unit yang dijadikan sumber alat ganti dianggap memadai.
Kuwait memiliki 39 buah F/A-18C/D yang telah ditauliahkan sekitar era yang sama dengan Hornet Malaysia.
Pesawat mereka diselenggara dengan standard tinggi dan aktif digunakan sehingga digantikan dengan F/A-18E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.
Terdapat beberapa kelebihan nyata seperti keserasian penuh dengan pesawat TUDM bagi memudahkan proses integrasi, latihan serta penggunaan alat ganti.
Kos perolehan lebih rendah berbanding pesawat tempur baharu kerana dalam keadaan bajet pertahanan ketat, pilihan ini lebih realistik daripada menunggu projek MRCA dalam tempoh 15 tahun lagi.
Jika sekurang-kurangnya sembilan pesawat diguna untuk operasi dengan selebihnya sebagai alat ganti, TUDM boleh mengekalkan sekurang-kurangnya satu skuadron Hornet yang stabil untuk 10 hingga 15 tahun akan datang.
Gabungan ini menjadikan jumlah keseluruhan pesawat Hornet TUDM meningkat menjadi 16 buah.
Ini satu angka yang lebih munasabah untuk mengekalkan tahap kesiapsiagaan tempur.
Baki pesawat boleh dijadikan sebagai stok alat ganti bagi memastikan penyelenggaraan jangka panjang lebih mudah dan murah.
Walaupun pesawat ini adalah platform terpakai, ia tidak akan diperoleh secara percuma. Justeru, kerajaan harus telus dan mengumumkan nilai peruntukan yang diperlukan untuk mendapatkan pesawat tersebut.
Perbelanjaan sebenar bukan sekadar melibatkan harga pesawat, tetapi juga kerja naik taraf avionik atau struktur, integrasi sistem senjata, kos latihan serta penyelenggaraan jangka panjang.
Sekiranya kos anggaran baik pulih bagi sebuah pesawat terpakai itu mencecah RM10 juta, bermakna perolehan 9 buah pesawat memerlukan anggaran lebih RM100 juta, mungkin sekitar RM150 hingga RM150 juta termasuk harga kesemua 18 pesawat.
Ini belum mengambil kira kos tambahan ketika proses baik pulih sedang dilakukan jika ada.
Oleh itu, pengumuman belanjawan terperinci penting agar rakyat memahami justifikasi perbelanjaan besar ini, khususnya dalam konteks keselamatan negara.
Perolehan Hornet terpakai Kuwait bukan sekadar langkah menambah bilangan pesawat, tetapi strategi memastikan kesiapsiagaan pertahanan negara tidak terjejas dalam tempoh peralihan menunggu pesawat pejuang generasi baharu diperoleh pada masa hadapan.
Dengan kos yang lebih rendah berbanding membeli pesawat baharu, ditambah keserasian dengan sistem yang sudah sedia ada, cadangan ini dilihat pilihan paling praktikal buat masa sekarang.
Perolehan Hornet Kuwait bagaimana pun bukan penyelesaian jangka panjang. -airtimes.my
#Airtimes #HornetKuwait #pesawat #F18Hornet #ATM #TUDM #pertahanan #Malaysia


















