Home DiskusiAncaman tidak dijangka: Bagaimana Malaysia bersedia melalui ketahanan menyeluruh

Ancaman tidak dijangka: Bagaimana Malaysia bersedia melalui ketahanan menyeluruh

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Sistem pertahanan moden kini bukan sahaja bergantung kepada kekuatan tentera mahupun aset ketenteraan. Ancaman yang semakin kompleks menuntut Malaysia mengembangkan pendekatan bersepadu, melibatkan seluruh rakyat dalam budaya keselamatan yang holistik.

Ancaman hari ini tidak lagi bersifat konvensional semata-mata. Kejadian seperti serangan siber berskala besar di rantau Indo Pasifik, ketegangan di Laut China Selatan serta peningkatan kapasiti ketenteraan kuasa besar menegaskan bahawa strategi konvensional sahaja tidak mencukupi. Malaysia perlu bersiap untuk menghadapi scenario yang lebih luas, termasuk ancaman digital, gangguan utiliti serta pengaruh geopolitik yang tidak menentu.

Dalam konteks ini, memerhati langkah Taiwan dalam menyediakan rakyat menghadapi sebarang kecemasan memberi gambaran jelas tentang pentingnya kesiapsiagaan awam. Baru-baru ini, kerajaan Taiwan mengedarkan lebih 9.8 juta naskhah buku panduan pertahanan awam kepada rakyat di seluruh pulau, termasuk versi dalam bahasa asing untuk capaian menyeluruh sebagai persediaan menghadapi kecemasan termasuk kemungkinan serangan dari China.

Buku panduan itu mengandungi arahan menghadapi tentera musuh, panduan mencari tempat perlindungan bom dan penyediaan kit kecemasan, serta langkah menghadapi serangan siber dan sabotaj infrastruktur kritikal.

Timbalan Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Taiwan, Lin Fei-fan menegaskan bahawa langkah ini menunjukkan tekad rakyat Taiwan mempertahankan diri serta bersedia melindungi komuniti masing-masing.

 “Kita mahu rakyat di seberang Selat Taiwan faham sebarang keputusan salah oleh China akan menelan kos besar, kerana rakyat Taiwan bertekad dan komited mempertahankan diri serta bersedia bertindak untuk melindungi satu sama lain,” kata Lin Fei-fan, yang mengetuai usaha tersebut.

Jurang kesedaran awam dan latihan masyarakat

Secara tidak langsung, buku panduan ini memudahkan setiap lapisan masyarakat untuk mengetahui tindakan yang perlu diambil sekiranya berdepan dengan ancaman. Foto: The Central News Agency

Situasi ini menekankan jurang kesedaran awam di Malaysia, bahawa ramai rakyat masih belum memahami tindakan asas semasa krisis maklumat, serangan siber atau gangguan utiliti yang berpotensi melumpuhkan kehidupan harian.

Walaupun struktur pengurusan bencana sedia ada melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM), latihan melibatkan masyarakat masih belum mencapai tahap optimum.

Latihan keselamatan awam masih tidak menyeluruh dan kebiasaannya tertumpu kepada bencana alam seperti banjir, sedangkan ancaman moden jauh lebih meluas. Ini menunjukkan keperluan sistematik dalam pendidikan masyarakat dan latihan berkala yang tersusun amat diperlukan untuk meningkatkan kefahaman keselamatan.

Mengadaptasi pendekatan Taiwan mengikut konteks Nusantara

Malaysia boleh mencontohi pendekatan Taiwan dengan membangunkan manual kecemasan nasional yang mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat. Namun, manual ini perlu disesuaikan dengan ancaman tempatan, termasuk kegagalan infrastruktur kritikal, serangan siber, ekstremisme, banjir besar, gelombang haba, pencemaran industri, dan gangguan bekalan air serta tenaga.

Penyediaan panduan khusus untuk setiap wilayah ini mampu meningkatkan keberkesanan maklumat, manakala latihan tahunan di institusi pendidikan, komuniti perumahan, dan organisasi setempat dapat memastikan setiap lapisan masyarakat mampu bertindak sebelum bantuan rasmi tiba.

Membina daya tahan maklumat sebagai pertahanan barisan hadapan

Dalam era digital, media juga menjadi barisan hadapan pertahanan. Penyebaran maklumat palsu, manipulasi data dan operasi pengaruh asing boleh mencetuskan panik awam serta melemahkan tindak balas kerajaan.

Oleh itu, ketahanan maklumat perlu menjadi agenda utama pertahanan nasional. Pendidikan literasi maklumat digital harus diperluas melalui sekolah, latihan komuniti dan kempen nasional. Manual kecemasan boleh memuatkan langkah asas seperti tindakan ketika bekalan elektrik terputus, cara mengakses maklumat sahih, dan lokasi pusat perlindungan sementara.

Peranan ATM, APM, MKN dan komuniti dalam sistem tindak balas pantas

ATM juga antara yang berperanan penting, turun ketika bencana untuk membantu rakyat Foto: Tentera Darat Malaysia

Kerjasama antara Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta pihak industri sangat penting. MKN berperanan menyelaras maklumat strategik dan memastikan setiap krisis ditangani dengan komunikasi yang tepat dan pantas.

Selain itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga berfungsi sebagai tulang belakang operasi besar, menyediakan sokongan logistik, laluan udara dan bantuan kemanusiaan ketika krisis. APM pula, sebagai pasukan yang memberikan tindakan awal, terutama di kawasan perumahan dan komuniti, dengan kelebihan dari segi mobilisasi pantas.

Bagaimanapun, keberkesanan sistem ini hanya tercapai jika rakyat turut terlibat secara aktif melalui latihan berkala, sukarelawan keselamatan dan kumpulan tindakan komuniti.

Ancaman moden tidak menunggu keputusan dasar atau pengumuman rasmi. Ia muncul tanpa amaran dan sering berlaku serentak. Malaysia perlu menanam budaya kesiapsiagaan dalam kehidupan seharian rakyat.

Dengan kesedaran bersama, latihan berterusan serta kekuatan komuniti, negara mampu berdiri teguh menghadapi ancaman masa hadapan. Membina daya tahan rakyat adalah tunjang pertahanan masa depan negara.

Pendekatan proaktif seperti Taiwan, disesuaikan mengikut konteks Nusantara mampu meningkatkan kesiapsiagaan secara menyeluruh. Rakyat yang cakna dan bersedia menghadapi kecemasan serta mempunyai akses kepada panduan praktikal adalah aset utama dalam sistem pertahanan nasional yang efektif.

Hanya melalui strategi bersepadu, latihan berulang serta penglibatan komuniti ini, Malaysia mampu menghadapi cabaran keselamatan moden dengan lebih berkesan. -airtimes.my

#Airtimes #panduanpertahanan #pertahanan #HANRUH #ATM #NADMA #APM #Taiwan #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply