Krisis diplomatik antara China dan Jepun kini memasuki fasa genting selepas kenyataan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, memberi bayangan bahawa Jepun boleh menggerakkan Japan Self-Defense Forces (JSDF) jika China melancarkan serangan ke atas Taiwan.
Kenyataan itu mencetuskan reaksi keras Beijing sekali gus akan membawa kepada pertikaian antara dua kuasa serantau terhadap pelbagai implikasi dalam soal keselamatan, diplomasi dan kedudukan negara negara jiran.
Perbalahan itu bermula apabila Takaichi menjelaskan di Parlimen bahawa penggunaan kekerasan atau pergerakan kapal perang China di sekitar Taiwan boleh dianggap sebagai situasi yang mengancam kelangsungan hidup Jepun.Di bawah undang undang keselamatan Jepun, situasi sedemikian membolehkan JSDF diaktifkan untuk bertindak balas terhadap ancaman ke atas sekutunya.

Japan Ground Self-Defense Force (GSDF)
Beijing bertindak balas dengan menyifatkan kenyataan itu sebagai provokasi. Media dan pegawai China menuduh Jepun melanggar prinsip “One China Policy” serta menuduh Tokyo cuba mencabar kepentingan teras Beijing. Dalam beberapa hari, kedua dua negara telah memanggil duta masing masing untuk menyampaikan bantahan rasmi.
Selain itu, China turut mengeluarkan nasihat kepada rakyatnya supaya menangguhkan perjalanan ke Jepun. Pada masa sama, beberapa syarikat penerbangan China menawarkan pemulangan wang bagi tiket ke Jepun. Di Jepun, kerajaan mengingatkan rakyatnya di China agar berwaspada berikutan suasana yang semakin tegang.
China memberi amaran keras dengan menyatakan bahawa Jepun tidak sepatutnya mencabar kepentingan teras Beijing. Teguran itu menggambarkan bahawa sebarang tindakan Jepun menyokong Taiwan dianggap sebagai ancaman langsung kepada kepentingan strategi China.

Jepun mendakwa pergerakan kapal perang China di sekitar Taiwan boleh dianggap ancaman terhadap kelangsungan hidup Jepun. FOTO: Hiasan
Hubungan China dan Jepun sememangnya kerap diuji oleh sejarah panjang permusuhan, termasuk konflik sejak abad ke-19 dan penderitaan yang dialami China semasa Perang Dunia Kedua. Isu sejarah ini sering menjadi faktor yang mengeruhkan hubungan setiap kali berlaku pertikaian politik atau keselamatan.
Takaichi dilihat sebagai tokoh pemimpin Jepun yang lebih tegas berbanding pemimpin sebelum ini, beliau sering mengutamakan dasar keselamatan yang rapat dengan Amerika Syarikat (AS) serta menyokong peningkatan kemampuan ketenteraan Jepun.
Sikap Takaichi yang berpendirian teguh terhadap Taiwan menambah kebimbangan Beijing kerana Taiwan sentiasa dianggap sebagai isu paling sensitif dalam dasar luar China. China berulang kali menegaskan bahawa Taiwan adalah wilayah yang tidak boleh dipisahkan dari tanah besar, Beijing juga tidak pernah menolak kemungkinan menggunakan kekerasan untuk mencapai penyatuan.

Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi
Bagi Jepun pula, kestabilan Selat Taiwan amat penting kerana hampir semua laluan perdagangan dan bekalan tenaga negara itu bergantung kepada perairan tersebut.
Kenyataan Takaichi menandakan perubahan besar dalam pendekatan Jepun. Selama beberapa dekad, Tokyo mengelakkan kenyataan terbuka mengenai Taiwan demi mengurangkan risiko ketegangan dengan China. Namun tindakan terbaru ini menunjukkan Jepun semakin bersedia mengambil pendirian lebih jelas dalam isu keselamatan rantau.
Akhirnya, pertikaian ini menandakan bahawa peta keselamatan Asia Timur semakin sukar diramal, sekiranya diplomasi gagal meredakan krisis ini, potensi terhadap pengerahan ketenteraan boleh menjadi nyata. Bagi negara-negara jiran dan kuasa besar, perkembangan ini perlu dipantau rapat kerana implikasinya boleh menjejaskan kestabilan rantau dalam jangka masa panjang. -airtimes.my
#China #Jepun #Taiwan #JSDF #Global #Airtimes
