Home DiskusiWaspada tawaran lumayan palsu dan jerat sindiket keldai dadah

Waspada tawaran lumayan palsu dan jerat sindiket keldai dadah

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Keterujaan melihat peluang yang tampak mudah sering kali mengaburi pertimbangan seseorang, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang mencabar. Dalam dunia digital yang serba cepat, tawaran pekerjaan, percutian mewah atau ganjaran lumayan yang dipaparkan di media sosial boleh kelihatan sesuatu yang sangat menggiurkan.

Kebelakangan ini, fenomena ini sangat ketara terutama dalam kalangan anak muda yang menjadikan platform digital sebagai ruang menonjolkan gaya hidup dan aspirasi peribadi.

Situasi tersebut membuka peluang kepada sindiket penipuan untuk memanipulasi mangsa melalui helah yang semakin canggih. Tawaran yang kelihat sah dan gah sering berubah menjadi jerat yang memerangkap individu sehingga tidak menyedari bahawa mereka sedang digunakan sebagai ‘keldai dadah’.

Perkembangan jenayah ini semakin membimbangkan, apabila baru-baru ini seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan ditahan di luar negara dari Januari hingga September tahun ini kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah. Statistik ini menunjukkan ancaman yang semakin meningkat dan memerlukan perhatian segera.

Dalam banyak kes, gambaran kemewahan dan janji masa depan yang lebih baik menjadi faktor utama yang menarik mangsa. Namun, di sebalik kesenangan yang dijanjikan, wujud jaringan sindiket terancang yang licik memerangkap individu tanpa disedari.

Fenomena ini bukan sekadar isu jenayah, malah ancaman serius terhadap keselamatan, kehidupan serta, masa depan mangsa dan keluarga.

Helah halus yang memakan diri

Golongan muda seringkali menjadi sasaran untuk diperdaya dengan tawaran kemewahan dan janji palsu. Foto Hiasan

Fenomena FOMO ‘fear of missing out’ atau ketakuan terlepas peluang sering mendorong seseorang mengambil risiko tanpa berfikir panjang. Dalam persekitaran media sosial yang menonjolkan kemewahan dan kejayaan segera, serta tawaran kerja berpendapatan tinggi atau peluang melancong percuma kebiasaannya kelihatan sangat menarik hingga mengaburi mereka.

Ramai tidak menyangka bahawa tawaran yang kelihatan tulen itu sebenarnya dikendalikan oleh sindiket jenayah antarabangsa yang beroperasi secara licik.

Keldai dadah merujuk kepada individu yang digunakan untuk membawa atau menyeludup dadah ke luar negara tanpa pengetahuan atau persetujuan daripada mangsa. Mangsa biasanya dijanjikan pekerjaan sah seperti pengurus hotel atau ejen pemasaran. Terdapat juga yang dijadikan kurier kononnya untuk membawa dokumen atau barangan peribadi.

Manipulasi bermula sebaik sahaja mangsa bersetuju membawa bungkusan tertentu yang sebenarnya mengandungi dadah. Sindiket memanfaatkan ketidaktahuan mangsa untuk melindungi operasi mereka dan bagi mengelakkan pengesanan pihak berkuasa.

Sebahagian mangsa hanya mengetahui kandungan sebenar apabila ditahan oleh pihak berkuas di negara destinasi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, menjelaskan bahawa tangkapan melibatkan rakyat Malaysia berkaitan keldai dadah berlaku di 16 negara termasuk Indonesia, Singapura, Kemboja, Taiwan, Thailand, Belgium, Laos, Macau, Hong Kong, Korea Selatan, serta Filipina, Jepun, Jordan, Maghribi, Myanmar dan Norway.

Seramai 50 daripada jumlah keseluruhan tangkapan ialah lelaki manakala lima lagi wanita. Kes tersebut menunjukkan bahawa rangkaian sindiket beroperasi merentas benua dan sentiasa mencari mangsa baharu.

“Sindiket ini sentiasa mencari mangsa baharu dan sanggup mengeksploitasi sesiapa sahaja tanpa mengira umur, pekerjaan atau latar belakang,” katanya dalam satu kenyataan.

Modus operandi yang semakin kompleks

“Sindiket keldai dadah terus evolusi, orang awam perlu lebih hati-hati” -PDRM- Foto: Polis Diraja Malaysia

Seiring kemajuan teknologi, memudahkan lagi modus operandi sindiket untuk mengubah kepada taktik yang lebih canggih dan memperluaskan operasinya.

Menurut Datuk Hussein, media sosial dan iklan kerja palsu menjadi platform utama untuk merekrut mangsa. Beliau menegaskan bahawa sindiket sanggup mengeksploitasi sesiapa sahaja tanpa mengira umur atau pekerjaan.

Golongan belia, pelajar, pencari kerja dan mereka yang berpendapatan tidak stabil antara yang menjadi sasaran utama, oleh kerana lebih mudah dipengaruhi dengan tawaran lumayan.

“Mangsa dijanjikan upah sebanyak RM1,000 hingga RM10,000 selain tiket penerbangan dan penginapan percuma. Semua tawaran ini hanya berfungsi sebagai umpan,” jelasnya lagi.

Dadah biasanya disembunyikan dalam bagasi, perabot kecil, makanan, peralatan elektronik atau melalui kaedah body packing bagi mengelakkan pengesanan. Adapun sindiket menggunakan kurier antarabangsa untuk mengaburi pemeriksaan. Destinasi utama penyeludupan meliputi United Kingdom, negara Eropah dan Asia Timur.

“Antara jenis dadah yang sering diseludup termasuk methamphetamine (syabu), MDMA (ekstasi), ganja dan kokain, bergantung kepada laluan serta permintaan pasaran,” tambahnya.

Risiko dan padah

Membawa barang terlarang seperti dadah ke luar negara, sama ada secara sedar atau tidak, membawa risiko undang-undang yang sangat berat. Banyak negara menguatkuasakan hukuman mati, penjara seumur hidup atau denda besar terhadap kesalahan ini.

Mangsa akan berhadapan proses perundangan yang panjang, manakala keluarga mengalami tekanan emosi dan perlu menanggung kesan sosial yang mendalam akibat stigma masyarakat, serta kekangan kewangan termasuk tanggungan kos guaman serta urusan konsular.

Menurut Datuk Hussein lagi, beliau menegaskan bahawa alasan tidak mengetahui kandungan bagasi tidak diterima di kebanyakan negara. Kejahilan bukan alasan dan tidak akan melindungi seseorang untuk terlepas daripada hukuman berat.

Kesedaran sebagai benteng utama

Fenomena keldai dadah bukan sekadar isu jenayah antarabangsa. Ia mencerminkan kelemahan masyarakat dalam menilai tawaran dalam mahupun luar negara yang dipercayai bijak menyelindung jenayah. Oleh itu, kesedaran awal melalui pendidikan, perbincangan keluarga dan program komuniti perlu diperkasakan bagi membendung taktik sindiket.

Orang ramai juga perlu lebih kritikal terhadap sebarang tawaran atau hadiah percuma yang kelihatan mencurigakan. Semakan latar syarikat, rujukan kepada sumber sahih serta berbincang dengan pihak berwibawa dapat membantu mengurangkan risiko menjadi mangsa.

Ancaman ini bukan isu terpencil. Ia menyentuh keselamatan, diplomasi dan integriti negara selain reputasi rakyat Malaysia di luar negara serta maruah keluarga mangsa. Sikap berhati-hati, pendidikan berterusan dan kesedaran kolektif menjadi benteng utama dalam mengekang sindiket daripada terus menjalar dan memperdaya rakyat Malaysia. airtimes.my

#Airtimes #Keldaidadah #sindiket #dadah #penyeludupan #jenayahantarabangsa #keselamatan #golonganmuda #FOMO #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply