Home DiskusiKerjasama strategik Malaysia–Korea Selatan: Membina daya tahan pertahanan di era ancaman siber

Kerjasama strategik Malaysia–Korea Selatan: Membina daya tahan pertahanan di era ancaman siber

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Diplomasi dalam dunia pertahanan menjadi nadi penting dalam memperkukuh kedaulatan dan keupayaan sesebuah negara. Ia bukan sahaja membuka laluan kepada kolaborasi strategik, malah membina kepercayaan antara negara di peringkat antarabangsa.

Dengan konteks ini, Malaysia terus memperkukuh jalinan dengan rakan-rakan global melalui perkongsian teknologi dan pengalaman bagi menjamin keselamatan serta kestabilan serantau.

Hubungan pertahanan Malaysia dan Korea Selatan kini melangkah ke fasa baharu yang lebih bermakna. Usaha memperdalam kerjasama ini termasuk pembangunan bersama dan pemindahan teknologi bagi membanteras ancaman bukan tradisional yang semakin berleluasa seperti jenayah siber.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucaptama pada Seminar Ketiga Kerjasama Industri Pertahanan Malaysia-Korea pada September yang lalu, menegaskan bahawa Malaysia bersedia menerima pemindahan teknologi dan mempelajari kepakaran Korea Selatan. Langkah ini selaras dengan visi kerajaan memperkasa industri pertahanan nasional agar setanding negara maju.

Dari niat baik kepada tindakan nyata

Menteri Pertahanan, Khaled Nordin berkata, kerjasama ini mencapai satu tahap penting, susulan keputusan kedua-dua negara untuk memperdalam kerjasama keselamatan, termasuk kolaborasi industri serta menangani ancaman bukan tradisional.

Khaled Nordin menjelaskan bahawa Malaysia menganggap Korea Selatan sebagai rakan yang dipercayai dengan industri pertahanan bertaraf dunia meliputi aeroangkasa, pertahanan siber dan pembuatan berteknologi tinggi. Menurut beliau, kerjasama ini bukan lagi sekadar diplomasi formal, tetapi satu komitmen strategik untuk membina keupayaan sebenar.

“Dialog semata-mata tidak mencukupi. Inilah masanya untuk bertindak, daripada sekadar niat baik kepada hasil nyata, daripada kerjasama asas kepada kemajuan konstruktif. Malaysia yakin dengan panduan dan persahabatan Korea, industri pertahanan kita akan mampu menterjemah aspirasi kepada pencapaian,” katanya.

Hubungan pertahanan antara kedua-dua negara telah bermula sejak 1980-an melalui latihan bersama, pertukaran pegawai dan pemerolehan aset. Namun, kenaikan taraf hubungan ke “tahap strategik” mencerminkan anjakan dasar Malaysia daripda hubungan tradisional kepada kerjasama berorientasikan pembangunan teknologi dan industri tempatan.

Khaled turut menegaskan bahawa kerjasama ini hadir tepat pada waktunya, ketika landskap keselamatan global semakin kompleks dan mencabar. Ancaman kini tidak lagi terhad, tetapi turut meliputi ruang siber dan spektrum elektromagnetik. Perkongsian ini memberi ruang kepada Malaysia untuk memperkukuh daya tahan nasional dan menjadi pemain aktif dalam ekosistem keselamatan Indo-Pasifik.

Perjanjian strategik G2G dan pemindahan teknologi

Malaysia kini mempercepatkan perolehan kerajaan dengan kerajaan (G2G) bersama Korea Selatan, yang dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri menjelang Oktober. Korea Selatan menjadi negara kedua selepas Turkiye menandatangani perjanjian eksklusif seumpamanya dengan Malaysia.

Namun menurut beliau, kerjasama dalam perolehan bukan sekadar soal pembelian aset.

“Ia juga tentang kesediaan anda untuk berkongsi, memindahkan serta membantu membangunkan syarikat dan industri kami. Malaysia mempunyai banyak perkara untuk dipelajari daripada Korea, namun yang lebih penting, kedua-dua negara berpotensi memperoleh manfaat lebih besar menerusi perkongsian industri pertahanan yang pragmatik,” jelasnya.

Mengapa Korea Selatan?

Kejayaan Korea Selatan membina keupayaan pertahanan domestik yang kukuh melalui pelaburan jangka panjang dalam penyelidikan dan inovasi bukan berlaku sekelip mata. Negara itu kini antara 10 pengeksport senjata terbesar dunia, dengan jenama seperti Hanwha, KAI dan Hyundai Rotem yang menghasilkan sistem senjata kompetitif serta dipercayai.

Dari pesawat pejuang ringan FA-50 hingga kepada kenderaan perisai dan sistem artileri K9 Thunder, Korea Selatan membuktikan bahawa komitmen terhadap pembangunan teknologi mampu menukar status daripada pengimport kepada pengeluar utama.

Model ini menjadi cerminan kepada Malaysia untuk membangunkan industri pertahanan yang mampan dan berdaya saing di peringkat global tanpa menutup ruang kerjasama antarabangsa. Ia turut menyokong pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (NDIS) yang menekankan pembinaan kapasiti, inovasi serta pemindahan teknologi.

Pendekatan pragmatik Seoul dalam diplomasi keselamatan juga memberi ruang kepada Malaysia untuk berunding secara fleksibel tanpa tekanan geopolitik blok besar. Dalam hal ini, kerjasama Malaysia-Korea Selatan dianggap lebih bersifat perkongsian sebenar berasaskan keperluan bersama dan bukan sekadar urusan komersial.

Peluang dan cabaran dalam perkongsian teknologi tinggi

Pemindahan teknologi berimpak tinggi menjadi komponen utama dalam hubungan dua hala ini. Melalui kerjasama strategik, Malaysia berpotensi memperoleh akses kepada teknologi radar, sistem avionik, kawalan tembakan, pertahanan siber dan pembangunan sistem tanpa pemandu (UAS).

Namun, manfaat sebenar bergantung kepada kemampuan pelaksanaan di peringkat domestik. Aspek sepert kesediaan infrastruktu, perlindungan harta intelek dan kesinambungan dasar kerajaan perlu diberi perhatian serius. Tanpa pelan pelaksanaan menyeluruh, kerjasama strategik berisiko menjadi simbolik semata-mata.

Justeru, Malaysia perlu memastikan setiap bentuk pemindahan teknologi diterjemahkan kepada peningkatan kapasiti tempatan, pembangunan tenaga mahir dan penglibatan industri kecil serta sederhana (IKS) dalam rantaian bekalan pertahanan.

Dimensi geopolitik dan peranan ASEAN

Kerjasama pertahanan Malaysia–Korea Selatan turut membawa kesan geopolitik yang lebih luas. Dalam konteks ASEAN, langkah ini menunjukkan kesediaan Malaysia menyesuaikan diri dengan realiti keselamatan baharu di rantau Indo-Pasifik.

Bagi ASEAN, kehadiran Korea Selatan dianggap sebagai peluang untuk mengimbangi pengaruh kuasa besar dan memperkukuh autonomi keselamatan serantau. Dengan itu, Malaysia sebagai negara sederhana tetapi strategik, boleh memainkan peranan penting dalam membina konsensus pertahanan yang stabil dan inklusif.

Seperti yang ditegaskan oleh Khaled Nordin, hasil nyata daripada perkongsian ini bukan sekadar memperkukuh pertahanan negara, tetapi turut menyumbang kepada keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.

Kerjasama dengan Korea Selatan berpotensi menjadi model bagi hubungan pertahanan masa depan yang berasaskan pembangunan bersama, perkongsian pintar dan peningkatan keupayaan sebenar. Namun, kejayaan hanya akan teruji apabila Malaysia mampu membuktikan bahawa strategi ini membawa nilai tambah kepada industri tempatan.

Akhirnya, transformasi dasar pertahanan bukan hanya tentang siapa rakan strategik kita, tetapi sejauh mana hubungan itu dimanfaatkan untuk membina kekuatan sendiri. -airtimes.my

#Airtimes #diplomasi #pertahanan #teknologi #siber #KoreaSelatan #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply