Home Pertahanan dan Keselamatan PSSTLDM beri peluang orang awam jadi tentera laut

PSSTLDM beri peluang orang awam jadi tentera laut

A+A-
Reset

LUMUT, 8 NOV – Mereka boleh sahaja memilih untuk meneruskan kerjaya awam dan aktiviti seharian tanpa perlu ‘bersusah payah’ untuk melakukan apa yang anggota tentera sebenar lakukan.  Bangun seawal subuh mungkin bukanlah masalah tetapi mengapa perlu berbaris setiap pagi, melakukan senaman, berlari, berkawad dan semuanya ditentukan oleh arahan.

Ada ketikanya mereka didenda kerana ‘melanggar’ atau sebagai hukuman. Namun, segalanya dilakukan ada alasan tersendiri iaitu menyumbang khidmat bakti kepada negara sebagai anggota pasukan simpanan sukarela.

Pengalaman melalui liku-liku latihan ketenteraan ini merupakan pilihan luar biasa buat Syed Alif Rikiman Syed Alwi yang menyertai Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM). Beliau merupakan antara 60 pegawai serta anggota PSSTLDM yang menyertai Latihan Kem Tahunan di Markas Pasukan Simpanan TLDM Johor Bahru, Johor, selama tujuh hari baru-baru ini.

Bekas Ahli Dewan Belia Perak sesi 2023/2024, Syed Alif Rikiman pilih untuk sertai PSSTLDM bagi menabur jasa dan bakti kepada negara.

Latihan ini juga disertai para pegawai kadet Markas Simpanan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak serta pegawai simpanan universiti-universiti awam. Latihan kem tahunan itu bertujuan memperkukuh kesiagaan dan kecekapan anggota simpanan TLDM dalam menghadapi sebarang cabaran keselamatan maritim, selain mempererat hubungan antara anggota tetap dan simpanan. Mereka yang menyertai PSSTLDM ini termasuk golongan profesional seperti jurutera, pensyarah, doktor, guru, pegawai penguatkuasa selain golongan bekerja sendiri.

Menurut Syed Alif Rikiman, beliau membuat keputusan menyertai PSSTLDM kerana ingin melakukan sesuatu yang berbeza selain menyumbang khidmat bakti kepada negara. Pemilihan PSSTLDM bagi beliau juga tepat sesuai dengan latar belakang kerjayanya dalam bidang marin. Syed Alif Rikiman yang merupakan Pegawai Kadet PSSTLDM mengakui memperoleh banyak pengalaman berharga.

Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Belia Perak sesi 2023/2024 mahu menjadi penghubung kepada golongan belia supaya bergiat aktif dalam bidang kesukarelawan khususnya tentera simpanan.

Bangun seawal subuh mungkin bukanlah masalah tetapi mengapa perlu berbaris setiap pagi, melakukan senaman, berlari, berkawad dan semuanya ditentukan oleh arahan. Ada ketikanya mereka didenda kerana ‘melanggar’ atau sebagai hukuman. Namun, segalanya dilakukan ada alasan tersendiri iaitu menyumbang khidmat bakti kepada negara sebagai anggota pasukan simpanan sukarela. Foto: Markas Simpanan TLDM

“Semenjak zaman pengajian hingga kini saya memang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, dan saya mahu teruskan minat sama dalam PSSTLDM. Penyertaan dalam latihan tersebut bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental, malah memperkukuh semangat cinta akan negara.

“Sebagai individu dalam bidang marin perkapalan, saya melihat latihan ini memberi perspektif baharu tentang disiplin dan tanggungjawab mempertahankan perairan negara. Ia pengalaman yang amat berharga. Justeru, saya ingin mengajak anak-anak muda di luar sana supaya melihat angkatan simpanan khususnya PSSTLDM sebagai pilihan,” katanya.

Bagi seorang lagi pelatih PSSTLDM, Qamarul Amin pula, latihan tersebut menjadi peluang untuk menimba kemahiran baharu dan menambah jaringan persahabatan dengan anggota tentera laut.

Memanjat tembok 12 kaki dengan membawa beban 10 kilogram antara cabaran yang dihadapi oleh anggota PSSTLDM semasa melaksanakan latihan tahunan.

“Kami didedahkan kepada pelbagai latihan termasuk kawad, pengendalian senjata, latihan menembak, merentas halangan, ilmu kelautan serta belayar bersama kapal latihan. Ia sangat mencabar tetapi memberi kepuasan yang sukar digambarkan,” ujarnya.

Seperti Syed Alif Rikiman, beliau juga berharap lebih ramai anak muda tampil menyertai PSSTLDM sebagai tanda sokongan dan kesiapsiagaan dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“PSSTLDM memberi peluang kepada rakyat biasa untuk berkhidmat kepada negara sambil kekal dalam kerjaya masing-masing. Ia wadah terbaik membina jati diri dan semangat patriotik,” tambahnya. – airtimes.my

Leave a Reply