Apabila China menegaskan semula pendiriannya terhadap dasar “One China Policy” sambil meningkatkan kehadiran tenteranya di sekitar Selat Taiwan, ASEAN berdepan cabaran besar sama ada untuk kekal berkecuali atau mula bersuara demi kepentingan keselamatan dan kestabilan serantau.
Pertikaian yang dahulunya dianggap isu dua hala antara Beijing dan Taipei kini berubah menjadi persoalan keselamatan serantau yang mampu menggugat keseimbangan kuasa di Indo-Pasifik.
Hubungan antara China dan Taiwan terus berada di bawah tekanan baharu selepas kemenangan Lai Ching-te dari Parti Progresif Demokratik (DPP) dalam pilihan raya Taiwan pada tahun 2023. Kemenangan itu menandakan kesinambungan pentadbiran yang cenderung kepada autonomi, sesuatu yang dianggap oleh Beijing sebagai cabaran terhadap dasar “One China Policy”.

Presiden Taiwan, Lai Ching-te
Sejak itu, kehadiran kapal perang Tentera Laut Pembebasan Rakyat (PLAN) China dan pesawat pejuang PLA yang semakin kerap melintasi garisan tengah Selat Taiwan memberi isyarat jelas bahawa Beijing sedang menguji tahap ketahanan dan tindak balas komuniti antarabangsa.
Tindakan ini bukan sahaja menguji Taiwan, malah memberi tekanan kepada negara-negara ASEAN yang bergantung kepada kestabilan maritim untuk perdagangan dan keselamatan ekonomi.
Selat Taiwan merupakan salah satu laluan maritim paling penting di dunia yang menjadi nadi utama kepada rantaian bekalan global termasuk eksport dan import negara-negara ASEAN. Gangguan terhadap laluan ini boleh memberi kesan langsung kepada ekonomi, perdagangan dan kestabilan tenaga di rantau ini.

Pelabuhan Kaohsiung merupakan pelabuhan terbesar dan tersibuk di Taiwan yang menjadi hab utama perdagangan dengan negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, dan Thailand
Namun, tekanan terhadap ASEAN bukan hanya bersifat ekonomi. Dari segi geostrategik, sebarang ketegangan di Selat Taiwan berpotensi merebak ke Laut China Selatan, kawasan yang sudah pun menjadi titik panas akibat pertindihan tuntutan wilayah.
ASEAN yang selama ini berpegang kepada prinsip neutraliti dan “centrality” kini semakin tersepit di antara dua kuasa besar, Amerika Syarikat (AS) dan China, yang masing-masing mempunyai pengaruh kuat di rantau ini. Jika konflik tercetus, ASEAN bukan sahaja akan terjejas dari sudut keselamatan tetapi juga terancam dari segi kredibiliti diplomatiknya sebagai penyokong keamanan serantau.
Bagi negara-negara ASEAN, ketegangan ini bukanlah isu yang boleh dipandang ringan. Blok Asia Tenggara memiliki lebih 700,000 pekerja migran dan puluhan ribu pelajar di Taiwan. Sekiranya konflik tercetus, keselamatan mereka akan menjadi tanggungjawab besar kepada kerajaan-kerajaan ASEAN.

FOTO: The Asean
Rantau Asia Tenggara yang terletak di tengah-tengah laluan strategik global seperti Laut China Selatan kini berada dalam kedudukan yang sensitif. Sebarang perubahan terhadap status quo di Selat Taiwan mampu memberi kesan langsung kepada keselamatan rantau ini, termasuk Malaysia, Singapura dan Filipina yang mempunyai hubungan rapat dengan kedua-dua kuasa besar iaitu China dan Amerika Syarikat (AS).
Dalam konteks ini, ASEAN tidak boleh memandang ringan perkembangan yang berlaku. Walaupun dasar tidak campur tangan menjadi asas organisasi serantau itu, realitinya konflik bersenjata di Selat Taiwan akan menjejaskan ekonomi, logistik dan rantaian bekalan seluruh rantau. Lebih membimbangkan, ia berpotensi menarik kuasa luar untuk memperkukuh kehadiran tentera masing-masing di kawasan berhampiran.
Malaysia sendiri kekal berpegang teguh kepada prinsip dasar luar yang konsisten. Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia pada April lalu, kedua-dua negara menyuarakan sokongan teguh antara satu sama lain dalam menjaga kedaulatan negara, keselamatan dan integriti wilayah, serta berusaha untuk menggalakkan perpaduan negara, kestabilan, pembangunan dan kemakmuran.

Presiden China Xi Jinping ketika mengadakan lawatan ke Malaysia pada April lalu. F0T0: Facebook rasmi Anwar Ibrahim
Malaysia juga mengulangi komitmennya terhadap dasar One-China Policy, seperti dalam Pernyataan Bersama yang ditandatangani oleh pemimpin kedua-dua negara pada 31 Mei 1974. Selaras dengan One-China Policy, Malaysia mengiktiraf Kerajaan Republik Rakyat China sebagai kerajaan tunggal China yang sah, Taiwan ialah wilayah Republik Rakyat China yang tidak boleh dipisahkan, dan untuk China mencapai penyatuan semula negara, di samping tidak akan menyokong sebarang gesaan untuk kemerdekaan Taiwan.
Pendekatan ini mencerminkan keseimbangan halus yang perlu dijaga dengan menghormati pendirian Beijing tanpa mengabaikan kepentingan strategik dan ekonomi yang terjalin dengan Taipei. Namun, dalam situasi semasa yang semakin tegang, keseimbangan ini semakin sukar untuk dikekalkan.
Justeru, ASEAN perlu memainkan peranan lebih aktif sebagai fasilitator dialog antara Beijing dan Taipei, sekaligus memperkukuh kedudukannya sebagai pengurus keamanan serantau.

Pemimpin-pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. F0T0: Facebook rasmi Anwar Ibrahim
Langkah ini selaras dengan aspirasi ASEAN untuk mengekalkan kestabilan di rantau Indo-Pasifik yang semakin kompetitif. Selain itu, ASEAN juga perlu memperkukuh keupayaan pertahanan kolektif dan keselamatan maritim bagi memastikan sebarang konflik di utara tidak menular ke perairan Asia Tenggara.
Bagi Malaysia dan negara ASEAN lain, pendekatan berhemah dan diplomasi berasaskan prinsip neutraliti kekal menjadi jalan terbaik. Namun, neutraliti tanpa persediaan strategik hanyalah ilusi. Justeru, memperkukuh kerjasama pertahanan, memperdalam hubungan maritim dan mempertingkat kebolehan pengawasan serantau adalah langkah penting untuk memastikan rantau ini tidak menjadi mangsa kepada percaturan global yang semakin rumit.
Selagi status quo antara China dan Taiwan kekal tidak menentu, rantau ini akan terus berada dalam bayang-bayang tekanan geopolitik. Bagi ASEAN, keutuhan dan kebijaksanaan dalam menghadapi situasi ini bukan sahaja akan menentukan arah masa depannya, tetapi juga mencerminkan sejauh mana rantau ini mampu berdiri sebagai kuasa penstabil di tengah-tengah dunia yang bergolak. -airtimes.my
#AirTimes #China #Taiwan #ASEAN #IndoPasifik #OneChinaPolicy #Keselamatanserantau #Pertahanan
