Home DiskusiSkifter, dron tempur: Simbol kebangkitan industri pertahanan Kosovo

Skifter, dron tempur: Simbol kebangkitan industri pertahanan Kosovo

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Di lereng-lereng Balkan yang pernah menyaksikan konflik berdarah, kini muncul sebuah lambang baharu kedaulatan, apabila Kosovo melancarkan pengeluaran dron buatan sendiri. Ia bukan sekadar kejayaan teknologi, tetapi manifestasi keinginan sebuah negara muda untuk berdiri di atas kaki sendiri dalam bidang pertahanan dan diplomasi antarabangsa.

Perasmian dron pertama yang dihasilkan di Kosovo itu disempurnakan oleh pemangku Perdana Menteri Kosovo, Albin Kurti pada Sabtu lalu. Langkah ini dilihat sebagai permulaan penting dalam memajukan industri pertahanan tempatan dan membina keupayaan berdikari.

Dari penerima bantuan kepada pengeluar pertahanan

Kosovo, yang memproklamasikan kemerdekaan pada 2008 masih bergelut mendapatkan pengiktirafan penuh antarabangsa. Namun, usaha membangunkan industri dron tempatan menandakan perubahan besar, daripada bergantung kepada bantuan luar kepada membina kekuatan sendiri.

Dalam dunia moden, kemampuan menghasilkan teknologi ketenteraan sendiri sering dianggap sebagai simbol kematangan geopolitik sesebuah negara. Pembinaan industri dron tempatan menggambarkan aspirasi nasional untuk mempamerkan kekuatan dan kestabilan. Namun, Bagi Kosovo, usaha ini bukan sahaja melibatkan aspek teknikal tetapi juga simbolik.

“Kami sedang membina dan membangunkan masa depan industri pertahanan dan kemajuan dron tempur di Kosovo. Negara kita sedang menjadi negara yang menghasilkan,” jelas Kurti dalam hantaran Facebook.

Kenyataan itu membawa mesej jelas bahawa Kosovo kini dilihat sebagai pemain aktif dalam mempertahankan kedaulatan, bukan lagi sekadar penerima perlindungan NATO.

Teknologi baharu, identiti baharu

Kosovo sebelum ini telah melabur dalam pembelian dron moden daripada rakan kongsi, seperti Bayraktar TB-2, Puma dan Skydagger. Kini, negara itu membangunkan kapasiti dalaman untuk menghasilkan dron tempur sendiri “Made in Kosovo”.

“Dron kamikaze ‘K1’ mencapai kelajuan maksimum 180 km/j dan ketinggian sehingga 2,500 meter. Manakala ‘Skifter’ beroperasi pada ketinggian sehingga 5,000 meter, dengan jarak 20 km dan kelajuan 270 km/j,” tegas Kurti.

Keupayaan sebegini bukan sahaja meningkatkan daya pertahanan, tetapi juga mencerminkan kematangan geopolitik Kosovo sebagai sebuah negara berdaulat yang mampu berdiri di atas inovasi sendiri.

Diplomasi teknologi dan pengaruh serantau

Dalam dunia moden, keupayaan menghasilkan sistem pertahanan sendiri menjadi ukuran baharu kedaulatan. Bagi Kosovo, dron ini bukan sekadar aset taktikal, tetapi juga simbol diplomatik. Melalui teknologi pertahanan, Kosovo berpotensi membina hubungan teknikal dan strategik dengan negara yang berkongsi kepentingan keselamatan serantau, termasuk Turkiye dan Albania.

Kerjasama ini membuka ruang kepada pertukaran pengetahuan dan pelaburan bersama dalam bidang aeroangkasa serta sistem tanpa pemandu.

Oleh itu, pembangunan industri dron boleh dianggap sebagai strategi lembut bagi mengukuhkan legitimasi kenegaraannya, tanpa bergantung sepenuhnya pada saluran diplomatik tradisional.

Sejak beberapa tahun lalu, Turkiye muncul sebagai rakan rapat kepada Kosovo dalam bidang keselamatan dan industri pertahanan. Model kerjasama Ankara–Pristina menunjukkan bagaimana teknologi boleh menjadi jambatan diplomatik dan politik.

Pendekatan Kosovo terhadap pembangunan dron turut berteraskan inovasi, mobiliti tinggi dan keberkesanan kos. Dalam jangka panjang, Kosovo berpotensi membangunkan ekosistem industri pertahanan sendiri yang lebih luas, dengan tumpuan kepada reka bentuk modular, elektronik avionik dan sistem kawalan bersepadu.

Kawalan udara dan keupayaan

Strategi pertahanan udara kini menjadi tumpuan utama dalam visi keselamatan Kosovo. Dengan memanfaatkan dron buatan tempatan, negara itu dapat memperkukuh kawalan ruang udara yang sebelum ini banyak bergantung kepada pasukan KFOR (Kosovo Force) di bawah NATO.

Dron baharu ini berupaya melaksanakan operas tinjauan, pemantauan dan serangan taktikal. Keupayaan ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan terhadap aset asing, tetapi turut meningkatkan kecekapan operasi ketenteraan serta keupayaan tindak balas terhadap ancaman berskala kecil.

Cabaran geopolitik dan potensi eksport

Namun, di sebalik kemajuan ini, persoalan strategik yang lebih mendalam: adakah pembangunan dron ini hanya untuk mempertahankan wilayah, atau langkah awal mengukuhkan pengaruh di rantau Balkan?

Pemerhati serantau melihat projek ini sebagai isyarat bahawa Kosovo sedang menyesuaikan diri dengan perubahan landskap keselamatan Balkan, terutama selepas ketegangan berpanjangan dengan Serbia dan isu sempadan di utara.

Selain itu, potensi eksport sistem dron menjadi faktor ekonomi baharu. Jika berjaya menembusi pasaran antarabangsa, Kosovo mampu muncul sebagai pemain kecil tetapi signifikan dalam rantaian bekalan pertahanan. Negara jiran seperti Bosnia dan Macedonia Utara mungkin melihat Kosovo sebagai rakan teknologi yang relevan. Ini sekali gus memperkukuh jaringan diplomatik dan ekonomi.

Kedaulatan dalam era teknologi

Bagaimanapun, Kurti menegaskan bahawa kerajaan akan terus menyokong industri pertahanan tempatan dan menjamin pelaburan berterusan dalam kapasiti keselamatan negara.

“Sebagai sebuah kerajaan, di peringkat pusat dan tempatan, kami akan menyokong pembinaan kapasiti dan produktiviti. Pelaburan dalam pertahanan dan keselamatan tidak akan berhenti,” simpul Kurti.

Dron buatan sendiri ini mencerminkan perubahan paradigma dalam takrif kedaulatan moden. Jika dahulu, kedaulatan diukur melalui kekuatan tentera konvensional. Kini, ia turut ditentukan oleh keupayaan teknologi strategik seperti sistem tanpa pemandu, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.

Langkah berani ini memberi mesej jelas bahawa keamanan yang berpanjangan tidak akan tercapai tanpa keupayaan mempertahankan diri. Kosovo memahami bahawa kebergantungan mutlak kepada kuasa luar hanyalah bersifat sementara.

Akhirnya, dron buatan sendiri bukan sekadar hasil kejuruteraan atau inovasi tempatan. Ia adalah simbol kepada keinginan Kosovo untuk menegaskan identiti, memperoleh pengiktirafan penuh dan membina masa depan yang bebas daripada bayang- bayang konflik silam. -airtimes.my

#Airtimes #dron #teknologipertahanan #Kosovo #Balkan

Related Articles

Leave a Reply