SUBANG, 5 NOV – Seramai 532 anggota Malaysian Battalion (MALBATT) 850-13 diaturgerakkan ke Lubnan bagi misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL), hari ini.
Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penyerahan bendera Malaysia serta penghantaran kumpulan pertama MALBATT 850-13 disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, di Pangkalan Udara Subang.
Menurut kenyataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), penghantaran kumpulan pertama melibatkan 150 anggota diketuai Komander MALBATT 850-13, Kolonel Mohd Rizwan Abdullah, dan akan dilakukan secara berperingkat menggunakan pesawat Air Asia.
MALBATT 850-13 terdiri daripada 68 pegawai dan 442 anggota lain-lain pangkat termasuk tiga pegawai serta 18 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang pegawai kewangan awam dari Kementerian Pertahanan.
Majlis berkenaan turut menjadi simbolik kepada keberangkatan anggota MALBATT 850-13, yang akan menggantikan kontinjen MALBATT 850-12 selepas tamat tempoh khidmat setahun di Lubnan.
“MALBATT 850-13 diaturgerakkan ke Lubnan secara berperingkat melibatkan empat peringkat penghantaran,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan sama memaklumkan pertukaran pasukan tersebut dilaksanakan berikutan tamat tempoh bertugas kontinjen terdahulu dan selaras dengan ketetapan Force Commander UNIFIL yang melibatkan semua negara penyumbang pasukan.
Selain itu, upacara pemakaian beret turut melibatkan Komander MALBATT 850-13, wakil ketiga-tiga perkhidmatan ATM, wakil ABDB, anggota wanita serta anggota lain-lain pangkat.
ATM menjelaskan, MALBATT 850-13 telah menjalani latihan intensif selama tiga bulan yang merangkumi latihan satu perkhidmatan dan Force Integration Training (FIT) di bawah kawal selia Markas Angkatan Bersama di MALBATT Village, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Turut hadir menyaksikan istiadat berkenaan ialah Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris; Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Pahlawan Zahani Zainal Abidin; pegawai kanan ATM serta ahli keluarga anggota MALBATT 850-13. – airtimes.my
#AirTimes #ATM #MALBATT #UNIFIL #Lubnan #Pertahanan #PBB #TenteraDarat #AngkatanTenteraMalaysia #MisiKeamanan #Malaysia




