Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia, AS perkukuh kerjasama pertahanan melalui MoU baharu

Malaysia, AS perkukuh kerjasama pertahanan melalui MoU baharu

A+A-
Reset

 KUALA LUMPUR, 31 OKT – Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menegaskan komitmen untuk memperkukuh kerjasama pertahanan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) baharu dalam bidang keselamatan dan pertahanan.

Perkara itu dipersetujui hasil pertemuan dua hala antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Perang AS, Pete Hegseth di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus), pada Khamis.

Menurut kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin mengiktiraf kerjasama pertahanan Malaysia–AS sebagai tonggak utama dalam Rakan Strategik Komprehensif antara kedua-dua negara.

MoU berkenaan mengukuhkan lebih 40 tahun hubungan pertahanan dua hala yang berpaksikan keamanan, keselamatan dan kemakmuran serantau.

Selain itu, Malaysia dan AS turut bersetuju memperbaharui Perjanjian Pemerolehan dan Perkhidmatan Bersilang serta memuktamadkan beberapa perjanjian dua hala lain yang melibatkan komunikasi, perkongsian maklumat dan hal ehwal geospatial.

Kenyataan itu turut menyebut kedua-dua pihak menegaskan komitmen untuk menangani cabaran keselamatan siber, keselamatan maritim, keganasan dan ekstremisme ganas yang semakin kompleks.

Khaled dan Hegseth juga sependapat bahawa Laut China Selatan adalah laluan maritim penting yang menghubungkan rantau ini dengan dunia luar.

Kedua-duanya menekankan keperluan menghormati kedaulatan negara dan menolak sebarang tindakan provokatif termasuk taktik kelabu seperti penyelidikan hidrografi yang dijalankan di bawah perlindungan kapal pengawal pantai asing.

Dalam masa sama, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan komunikasi dan dialog ketenteraan bagi mengelak salah perhitungan serta memperkukuh usaha pemodenan dan interoperabiliti ke arah kesiapsiagaan angkatan masing-masing.

Kementerian Pertahanan memaklumkan hubungan erat antara kedua-dua negara turut terserlah menerusi penganjuran 14 latihan dua hala dan pelbagai hala termasuk latihan tembakan langsung jarak jauh melibatkan HIMARS AS dan ASTROS Malaysia di Selat Melaka baru-baru ini.

Selain itu, kira-kira 300 pegawai Malaysia menyertai program latihan dan pembangunan profesional di AS setiap tahun, termasuk melalui Mesyuarat Strategik Tahunan Malaysia–AS dan Kumpulan Latihan serta Rundingan Dua Hala.

Kedua-dua pemimpin dijangka bertemu semula pada tahun hadapan di Pentagon, Washington D.C. – airtimes.my

#AirTimesNews #PertahananKeselamatan #ADMM #MoU #Malaysia #AmerikaSyarikat #KerjasamaPertahanan

Leave a Reply