Home DiskusiPesawat J-10C semakin mendominasi, mungkinkah jadi pilihan Malaysia

Pesawat J-10C semakin mendominasi, mungkinkah jadi pilihan Malaysia

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pesawat pejuang pelbagai peranan Chengdu J-10C keluaran China mula menunjukkan dominasi ketara dalam pasaran pertahanan serantau, khususnya di Asia Selatan.

Tentera Udara Pakistan menjadi pengguna asing pertama varian eksport J-10CE, diikuti oleh minat dari negara seperti Bangladesh

Ini satu petanda bahawa platform ini semakin mendapat tempat sebagai pilihan strategik di luar China.

Terbaru, negara jiran Indonesia berkemungkinan besar menjadi pengguna seterusnya berikutan kenyataan Menteri Pertahanan, Sjafrie Sjamsoeddin.

Indonesia membayangkan bakal membeli 42 buah pesawat J-10C tersebut yang menelan perbelanjaan besar selepas pembelian pesawat Dassault Rafale.

Bagaimana pun, belum ada sebarang pendedahan lanjut sama ada tentang butiran kontrak atau pun tempoh pesawat bakal diterima.

Sebagai negara berpengaruh di rantau ini, sebarang perolehan ketenteraan yang dibuat Indonesia pasti menjadi tumpuan seiring dengan cita-cita besar republik itu.

Pakistan membeli 25 buah pesawat J-10CE pada tahun 2020 sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengimbangi kelebihan kuantitatif dan kualitatif India dalam sektor udara.

Pesawat ini beraksi cemerlang semasa konflik antara India dan Pakistan pada Mei lalu, sekali gus membuktikan kemampuannya dalam senario sebenar.

Dilengkapi radar AESA, sistem peperangan elektronik moden dan keupayaan membawa peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 jarak jauh, J-10C dianggap sebagai pesaing kepada jet generasi keempat lain seperti Rafale dan F-16V.

Bangladesh, yang sebelum ini mengoperasikan MiG-29 dan F-7, dilaporkan berminat dengan J-10C bagi memperbaharui armada udara mereka.

Perkembangan ini dilihat menunjukkan keyakinan serantau terhadap keupayaan platform buatan China.

Melihat pada dominasi baharu pesawat tempur China di rantau Asia maka timbul soalan apakah ada potensi pesawat tersebut di Malaysia?

Menariknya, pesawat J-10 bukanlah asing bagi Malaysia apabila buat kali pertama beraksi di sini semasa LIMA 2015 menerusi Tim Aerobatik August 1st, iaitu 10 tahun lalu.

Lebih istimewa ia juga merupakan kemunculan pertama kali J-10 dalam pertunjukan udara di luar China.

China telah menghantar pasukan aerobatik mereka bersama pesawat J-10 sebagai satu bentuk diplomasi ketenteraan dan promosi langsung ke pasaran ASEAN.

Sekali lagi pada LIMA 2023 Tim Aerobatik August 1st hadir, kali ini menerbangkan varian terbaharu iaitu J-10C.

Malaysia menjadi negara pertama di rantau ini yang diperkenalkan secara dekat dengan platform tersebut.

Lebih signifikan, J-10C turut disenaraikan sebagai antara calon dalam tender Light Combat Aircraft / Fighter Lead-In Trainer (LCA/FLIT) TUDM, namun tewas kepada FA-50 buatan Korea Selatan.

Kegagalan ini bukan disebabkan oleh kekurangan dari segi kemampuan teknikal, tetapi lebih kepada pertimbangan strategik, geopolitik dan keperluan latihan sedia ada yang lebih sesuai dengan FA-50.

Namun begitu, adakah situasi ini mungkin berubah dalam beberapa tahun akan datang?

Dengan J-10C yang kini terbukti di medan sebenar, dan kos operasi yang dikatakan lebih rendah berbanding pesaing Barat, persoalan mula timbul.

Adakah Malaysia akan mempertimbangkan J-10C dalam perolehan masa depan bagi menggantikan pesawat MiG-29N, sebagai pengganti sementara sebelum perolehan pesawat Gen 5 atau sebagai sebahagian daripada pelan jangka panjang CAP55 TUDM?

Di atas kertas, terdapat beberapa faktor yang boleh menjadi penawaran daripada J-10C, paling utama adalah kos dan ketersediaan pesawat.

J-10C dipercayai menawarkan nisbah kos dengan keupayaan yang kompetitif berbanding pesawat Barat.

Dalam keadaan bajet pertahanan yang terhad, keupayaan memperolehi platform berkemampuan tinggi dengan kos lebih rendah mungkin menjadi faktor penentu.

Kedua adalah faktor reputasi. Dengan Pakistan dan berkemungkinan Bangladesh dan Indonesia sebagai pengguna aktif, J-10C membina rekod prestasi yang baik.

Sekiranya lebih banyak negara Asia mengoperasikan pesawat ini, ia boleh menjadi pertimbangan kepada negara pengguna seterusnya di rantau ini.

Ketiga adalah faktor kemajuan industri aeroangkasa China. Sepertimana dalam industri elektronik dan automotif, teknologi China kini semakin berkembang dan mula diterima.

China kini semakin agresif dalam memasarkan peralatan pertahanan mereka, termasuk menawarkan pemindahan teknologi, perjanjian offset dan kerjasama industri tempatan.

Walaupun begitu, isu geopolitik serantau seperti di Laut China Selatan dikatakan akan membayangi Malaysia sekiranya memilih kelengkapan pertahanan China. Benarkah begitu?

Secara tradisinya Malaysia lebih cenderung kepada pembelian kelengkapan pertahanan utama dari Barat khususnya pesawat tempur.

Pembelian dari negara bukan tradisi mungkin menimbulkan isu lain, terutama jika sistem ini sukar diintegrasikan dengan aset sedia ada dari NATO atau Barat.

Walaupun J-10C belum lagi menjadi pilihan rasmi Malaysia, perkembangannya di Asia Selatan dan prestasi medan sebenar memberi isyarat bahawa pesawat ini bukan lagi pesaing yang boleh diketepikan.

Bagaimana pun, keupayaan perolehan sebenar banyak bergantung kepada kemampuan kantung negara selain hubungan antarabangsa dan diplomasi pertahanan. -airtimes.my

#AirTimes #Pertahanan #TUDM #J10C #China #Indonesia #Pakistan #LCA #FA50

Related Articles

Leave a Reply