Home SemasaKerjasama antara China dan AS penting demi keamanan dunia – Khaled Nordin

Kerjasama antara China dan AS penting demi keamanan dunia – Khaled Nordin

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 30 OKT – Kerjasama antara pemimpin China dan Amerika Syarikat (AS) dilihat penting serta membawa perkembangan positif yang mampu memberi impak besar terhadap usaha mengekalkan kestabilan dan keamanan dunia.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pertemuan antara dua kuasa besar itu menunjukkan komitmen untuk mencapai persefahaman bersama demi kemakmuran global termasuk rantau ASEAN.

“Trump dan China telah bertemu dan mereka boleh bersetuju dalam banyak perkara. Saya rasa itu sesuatu yang baik untuk seluruh dunia. Bagi saya, China dan Amerika Syarikat ialah penyokong keamanan,” katanya kepada media selepas menghadiri sesi Media Walkabout sempena 19th ASEAN Defence Ministers’ Meeting (ADMM) dan 12th ADMM-Plus di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Beliau berkata, kehadiran Presiden Trump ke rantau ini turut menunjukkan peranan aktif Amerika Syarikat dalam memupuk keamanan di Asia Tenggara serta usaha menamatkan beberapa konflik antarabangsa.

“Presiden Trump datang ke sini kerana beliau mahu melihat perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja dimeterai. Beliau juga bercakap tentang Gaza dan mahu menamatkan konflik itu. Beliau turut berusaha menamatkan konflik antara Rusia dan Ukraine,” ujarnya.

Khaled menjelaskan bahawa Amerika Syarikat telah lama dikenali sebagai penyokong keamanan manakala China pula sebuah negara yang percaya kepada kemakmuran jirannya.

“Kenapa Malaysia memilih tema ASEAN Unity for Security and Prosperity ialah kerana kedua-dua perkara ini sangat penting. China untuk kemakmuran, Amerika untuk keselamatan dan keamanan,” jelasnya.

Beliau menegaskan, kerjasama antara China dan Amerika Syarikat seiring dengan aspirasi Malaysia serta ASEAN yang menekankan keamanan dan kemakmuran serantau.

“Apabila kedua-duanya bertemu dan berbincang, ia sejajar dengan aspirasi Malaysia dan ASEAN. Saya berpendapat ini merupakan perkembangan yang baik untuk seluruh dunia,” katanya.

Khaled turut menambah, dunia kini saling bergantung antara satu sama lain dan kestabilan antarabangsa amat penting bagi memastikan kemakmuran ekonomi global dapat dikekalkan.

“Dalam dunia tanpa sempadan yang saling bergantung antara satu sama lain disebabkan perdagangan bebas, apa-apa cabaran di mana-mana bahagian dunia akan memberi kesan kepada setiap negara. Jadi kami menghargai perbincangan dan perjanjian yang telah berlaku antara negara-negara,” tambah beliau. – airtimes.my

#AirTimes #KementerianPertahanan #ADMM2025 #China #AmerikaSyarikat #KeamananGlobal

Related Articles

Leave a Reply