Home DiskusiKOLUMNIS: Perolehan MRSS, sistem MERAD dijangka ambil masa panjang sebelum diterima

KOLUMNIS: Perolehan MRSS, sistem MERAD dijangka ambil masa panjang sebelum diterima

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

Pengumuman dalam Belanjawan 2026 khususnya pembelian kapal Multi-Role Support Ship (MRSS) dan sistem pertahanan udara mencetuskan reaksi positif dan penuh keterujaan ramai.

Bagaimana pun, tidak semudah mengumumkan peruntukan, proses untuk mendapatkan aset-aset tersebut sebenarnya masih jauh lagi untuk diterima.

Apabila membaca ulasan-ulasan pihak tertentu khususnya di media sosial membayangkan seolah-olah MRSS dan sistem persenjataan pertahanan udara akan diterima segera.

Di sebalik semua keterujaan itu, penting untuk memahami bahawa proses perolehan kelengkapan pertahanan bukanlah sesuatu yang mudah atau berlaku dalam masa singkat.

Sepertimana diketahui, perolehan MRSS sudah lama dinanti, malah perancangan untuk membeli kapal-kapal tersebut lebih awal sebelum program kapal tempur pesisir (LCS) direncanakan.

Sebab itu perolehan MRSS boleh dianggap sebagai antara pencapaian paling signifikan dalam Belanjawan 2026.

Perancangan ke arah memiliki kapal sokongan pelbagai peranan ini telah dimulakan lebih dua dekad lalu, namun tertangguh berkali-kali akibat pelbagai faktor.

Ini termasuk kekangan kewangan negara, keutamaan dasar yang sering berubah serta landskap geopolitik yang dinamik.

Namun, pengumuman terkini bukan bermaksud kapal ini akan segera tiba di pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sebaliknya, perjalanan ke arah merealisasikan perolehan ini masih panjang dan kompleks.

Ia melibatkan pelbagai proses, termasuk kajian keperluan operasi (operational requirements), pemilihan spesifikasi teknikal, pelaksanaan penilaian tender, serta kerjasama industri yang rapi.

Semua ini memerlukan penyelarasan antara Kementerian Pertahanan (MINDEF), TLDM, Kementerian Kewangan, serta industri pertahanan tempatan dan antarabangsa.

Malaysia sebagai sebuah negara maritim yang terbahagi kepada dua wilayah utama iaitu Semenanjung dan Malaysia Timur amat memerlukan keupayaan logistik maritim yang berkesan.

MRSS mampu memainkan peranan penting dalam memobilisasi anggota dan aset ATM dengan lebih pantas serta membantu dalam misi kemanusiaan dan bencana.

Maka, walaupun perolehannya mengambil masa, pelaburan ini sangat kritikal untuk jangka panjang.

Pengumuman ini juga dijangka membuka ruang besar kepada industri pertahanan maritim, baik dalam dan luar negara.

Perolehan MRSS bukan hanya tentang membeli kapal, tetapi berpotensi menarik kerjasama industri berskala besar, termasuk pemindahan teknologi, pembangunan kapasiti tempatan serta pengukuhan rantaian bekalan maritim negara.

LIMA 2027 dijangka menjadi medan penting bagi mempamerkan minat dan tawaran daripada syarikat pertahanan global yang melihat Malaysia sebagai hab pertahanan serantau yang berdaya saing.

Syarikat pembuat kapal, pembekal sistem sokongan, serta firma tempatan yang berkemampuan dijangka mengambil bahagian aktif dalam proses ini.

Hanya selepas kontrak sebenar dimeterai dengan firma perkapalan yang berjaya membida kontrak ini maka barulah kita boleh membayangkan tempoh sebenar MRSS akan disiapkan.

Satu lagi perolehan penting yang diumumkan ialah pembelian sistem pertahanan udara berlapis melibatkan sistem jarak sederhana (MRAD), jarak dekat (SHORAD) dan sangat dekat (VSHORAD).

Ini merupakan kali pertama ATM dilengkapi dengan struktur pertahanan udara berlapis yang menyeluruh.

Dalam keupayaan pertahanan udara di darat, ATM jauh ketinggalan berbanding negara-negara serantau.

Bukan rahsia bahawa ATM telah beberapa kali terpaksa melupakan hasrat memperolehi sistem pertahanan udara yang lebih baik apabila peruntukan yang diharap tidak kunjung tiba.

Kepentingan sistem pertahanan udara di darat bukan semata-mata disebabkan trend pertempuran hari ini yang didominasi oleh dron, malah ia merupakan kelengkapan yang sentiasa relevan sejak zaman belon udara digunakan oleh tentera.

Dalam ancaman hari ini, memiliki sistem pertahanan udara berlapis adalah mesti.

Perolehan MRAD, walaupun hanya satu rejimen sebagai permulaan, bakal memberi pendedahan dan latihan penting kepada anggota ATM dalam mengoperasikan sistem berteknologi tinggi ini.

Manakala sistem SHORAD dan VSHORAD pula dijangka menggantikan sistem sedia ada yang telah digunakan sejak sekian lama.

Ini memberi nafas baharu kepada keupayaan pertahanan udara negara.

Apa yang harus difahami adalah proses perolehan pertahanan bukan seperti membeli peralatan komersial.

Walaupun begitu, kita mengharapkan agar penantian untuk melihat MRSS belayar membelah samudera manakala sistem pertahanan udara negara kembali ampuh tidak terlalu lama. -airtimes.my

#Airtimes #Belanjawan2026 #ATM #TLDM #MRSS #PertahananUdara #MINDEF #TeknologiKetenteraan #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply