SUBANG, 5 NOV – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, menegaskan rakyat Lubnan melihat Malaysia sebagai sahabat dan pelindung hasil dedikasi kontinjen Malaysian Battalion (MALBATT) dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sejak 2007.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penghantaran kumpulan pertama MALBATT 850-13 di Pangkalan Udara Subang, hari ini.
“Nama Malaysia dikenali di bumi Lubnan bukan kerana kekuatan senjata, tetapi kerana kekuatan hati. Rakyat Lubnan melihat kita sebagai sahabat dan pelindung. Kamu kini mewarisi legasi itu,” katanya.
Seramai 532 anggota termasuk 55 wanita daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) menyertai penugasan kali ini.
Panglima Angkatan Tentera turut mengingatkan anggota agar melaksanakan tanggungjawab dengan penuh disiplin, rasa tanggungjawab dan berpegang kepada nilai kemanusiaan.
“Bumi Lubnan bukan medan yang mudah. Ia sarat dengan cabaran, konflik dan ketidaktentuan. Namun, saya yakin latihan dan persediaan yang kamu semua jalani telah membentuk kekuatan sebenar dalam diri masing-masing. Gunakanlah segala ilmu dan pengalaman itu untuk menghadapi apa jua keadaan yang mendatang,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa misi pengaman ini bukan hanya tentang keselamatan, tetapi juga melibatkan nilai kemanusiaan.
“Berbicaralah dengan hati, hulurkan bantuan dengan ikhlas, dan hormatilah budaya serta undang-undang tempatan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau turut merakam penghargaan kepada keluarga anggota yang sentiasa mendoakan keselamatan mereka serta menyifatkan pengorbanan itu sebagai lambang kekuatan dan semangat ATM.
“Berangkatlah dengan hati yang tenang. Kami semua menunggu kepulangan kalian dengan rasa bangga dan syukur,” katanya menutup ucapan. – airtimes.my
#AirtTimes #ATM #MALBATT #UNIFIL #Lubnan #Pertahanan #TenteraDarat #Brunei #Keamanan #MisiPengaman #Malaysia
