MELAKA, 9 JAN – Panglima 10 Briged (Para), Brig Jen Datuk Khairul Anwar Soib menegaskan keperluan memperkukuh disiplin, kepimpinan serta kesiapsiagaan operasi selaras dengan peranan briged itu sebagai Pasukan Atur Gerak Cepat Tentera Darat bagi mendepani cabaran dan tugasan sepanjang tahun 2026.
Beliau menyatakan demikian dalam Perbarisan Amanat Tahun Baru 2026 yang dilaksanakan oleh 10 Briged (Para) di Padang Kawad 1 RAD (Para) sebagai pembuka tirai aktiviti tahunan briged berkenaan serta wadah penyampaian amanat dan penegasan hala tuju kepimpinan.
Dalam amanat tersebut, beliau mengiktiraf pencapaian sepanjang tahun 2025, namun menekankan keperluan penambahbaikan berterusan dalam aspek pemerintahan dan kawalan, latihan, tadbir urus serta pengurusan aset.
Bagi tahun 2026, fokus diberikan kepada pelaksanaan latihan yang realistik dan berorientasikan misi bagi melahirkan anggota yang berkeupayaan tinggi, berdaya tahan dan berdisiplin.
Panglima turut menegaskan penguatkuasaan disiplin hendaklah dilaksanakan secara tegas, adil dan konsisten bagi memelihara kewibawaan pasukan, selain menyeru seluruh warga 10 Briged (Para) agar kekal bersatu, berintegriti dan komited dalam memacu ketumbukan ini sebagai sebuah formasi yang terlatih, disegani dan berwibawa.
Seusai perbarisan, seluruh warga 10 Briged (Para) menunaikan Solat Sunat Hajat, diikuti bacaan Yasin serta doa selamat sebagai tanda kesyukuran dan memohon keberkatan, perlindungan serta kelancaran dalam melaksanakan amanah dan tugasan sepanjang tahun 2026. –airtimes.my












