Ketika kontrak perolehan sistem peperangan elektronik dimeterai baru-baru ini, Menteri Pertahanan Poland, Kosiniak-Kamysz menyatakan beliau kagum dengan kemajuan dan keupayaan Turkiye.
Melihat kepada kenyataan yang dikongsikan oleh ASELSAN, Kosiniak-Kamysz menyatakan “Turkiye telah berevolusi dari sebuah negara yang mengimport 80 peratus peralatan pertahanan ketenteraannya kepada negara yang kini hanya memperoleh 20 peratus dari luar negara”.
Kata-kata Menteri Pertahanan Poland itu mempunyai signifikan tersendiri memandangkan Turkiye merupakan sebuah negara sekutu NATO dengan Poland. Sudah tentu beliau melihat sendiri secara jelas dan nyata bagaimana sebuah negara Jambatan Eropah-Asia itu berkembang pesat dalam tempoh 2 dekad.
Dua dekad lalu, Turkiye hanyalah sebuah negara anggota NATO yang sangat bergantung kepada teknologi pertahanan luar, khususnya dari Amerika Syarikat dan Eropah. Sekitar tahun 2000, hampir 80 peratus keperluan ketenteraan mereka diperoleh melalui import. Keadaan ini menjadikan Ankara terdedah kepada tekanan politik dan sekatan senjata, seperti yang dialami selepas isu Cyprus serta beberapa operasi ketenteraan di rantau sekitarnya.
Sekatan eksport, kelewatan alat ganti dan syarat politik daripada negara pembekal memberi kesan langsung kepada kesiapsiagaan Angkatan Tentera Turkiye. Realiti ini memaksa Ankara menilai semula asas keselamatan nasionalnya, dengan kesimpulan bahawa kedaulatan politik tidak dapat dipisahkan daripada kemandirian pertahanan.
Berpaksikan kesedaran tersebut, Turkiye dilihat telah memulakan transformasi menyeluruh secara berperingkat dan terancang. Perubahan ini tidak berlaku secara mendadak, sebaliknya hasil gabungan kehendak politik, keperluan keselamatan sebenar dan pelaburan jangka panjang dalam teknologi tempatan. Hari ini, kadar kebergantungan luar berjaya dikurangkan kepada kurang daripada 20 peratus.
Kemunculan syarikat gergasi seperti ASELSAN, TUSAS, ROKETSAN dan HAVELSAN menjadi tonggak utama ekosistem industri pertahanan negara itu. ASELSAN menumpukan kepada sistem elektronik dan penderia, TUSAS kepada platform udara, ROKETSAN kepada sistem peluru berpandu, manakala HAVELSAN kepada perisian serta simulasi. Keempat-empat syarikat ini berkembang seiring dengan keperluan pengguna, sekali gus mengurangkan jurang antara pembangun teknologi dan medan operasi sebenar.
Ikon Revolusi: Dominasi Ruang Udara Tanpa Pemandu (UAV)

Dalam konteks global, kebangkitan Turkiye paling ketara dapat dilihat melalui dominasi ruang udara tanpa pemandu. Nama Bayraktar TB2 muncul sebagai simbol paling jelas transformasi ini. Pembangunan kenderaan udara tanpa pemandu bersenjata bukan sekadar pencapaian teknologi, tetapi turut berfungsi sebagai alat diplomasi strategik Ankara.
Bayraktar TB2 dan Anka bukan sahaja digunakan secara meluas oleh Turkiye, malah dieksport dan beroperasi dalam beberapa konflik sebenar. Kejayaan TB2 di Nagorno-Karabakh, Libya, dan terbaharu di Ukraine, membuktikan bahawa sistem ini benar-benar teruji di medan perang (combat-proven). Kejayaan ini memberi kredibiliti tinggi kepada industri pertahanan Turkiye di mata pembeli antarabangsa.
Berbeza dengan dron buatan Barat yang mahal serta terikat dengan birokrasi eksport yang ketat, dron Turkiye menawarkan keseimbangan antara kos efektif dan keupayaan tempur. Kini, firma seperti Baykar dan TAI (Turkish Aerospace Industries) menerajui inovasi baharu melalui pembangunan dron halimunan (stealth) seperti Kızılelma serta dron pengangkut berat, Akıncı. Pencapaian ini menunjukkan penguasaan rantaian penuh, daripada reka bentuk hingga integrasi persenjataan.
Melangkaui Udara: Kekuatan di Darat dan Laut

ASELSAN mempersembahkan penyelesaian darat dan senjata baharu termasuk sistem artileri dan mortar ALKAR, peluru pintar ASAF dan ATOM, serta radar penembusan darat YENER kepada khalayak global buat kali pertama di IDEX 2025. Foto: ASELSAN
Namun, kebangkitan industri pertahanan Turkiye tidak terhad kepada sektor udara sahaja. Di darat, negara itu membangunkan kereta kebal utama Altay serta pelbagai kenderaan berperisai seperti Kirpi yang kini digunakan oleh beberapa negara di Asia Tenggara dan Afrika. Walaupun masih berdepan cabaran pembangunan enjin, pencapaian ini tetap mencerminkan kemajuan kejuruteraan yang signifikan.
Manakala di sektor laut pula, projek MİLGEM melahirkan kapal korvet dan frigat dengan tahap kandungan tempatan yang tinggi. Pelancaran TCG Anadolu, yang sering digelar sebagai kapal pengangkut dron pertama di dunia, menandakan lonjakan besar bagi sebuah negara yang suatu ketika dahulu hanya mampu menyelenggara kapal terpakai. Setiap program ini turut membina keupayaan industri tempatan dalam pengurusan projek berskala besar.
Faktor Kebangkitan di Persada Antarabangsa

Di sebalik kejayaan ini, terdapat beberapa faktor utama yang menyokong “Model Turkiye”. Antaranya ialah kehendak politik yang jelas dan konsisten, pelaburan berterusan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta pembinaan ekosistem industri tempatan yang menyeluruh.
Ribuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilibatkan sebagai sebahagian rantaian bekalan nasional, sekali gus memastikan pemindahan teknologi dan pembangunan bakat jangka panjang.
Keberanian untuk mencuba dan menerima kegagalan juga menjadi pemangkin utama. Setiap kegagalan prototaip dianggap sebagai proses pembelajaran, bukan alasan untuk berhenti. Walaupun begitu, cabaran masih wujud, termasuk kebergantungan kepada komponen kritikal tertentu serta sensitiviti diplomatik berkaitan eksport senjata.
Hari ini, Turkiye bukan lagi sekadar “benteng” di sayap timur NATO. Ia muncul sebagai pemain industri pertahanan yang mampu mencabar dominasi kuasa tradisional. Pengalaman ini membuktikan bahawa kemandirian teknologi adalah asas kepada maruah dan kebebasan strategik sesebuah negara.
Turkiye telah membuktikan bahawa dalam tempoh 20 tahun, dengan strategi yang betul, sebuah negara mampu berubah daripada pengguna kepada penyedia keselamatan global. – airtimes.my
#AirTimes #IndustriPertahanan #Baykar #TUSAS #ASELSAN #ROKETSAN #HAVELSAN #BayraktarTB2 #global #Turkiye




















