Pembelian sistem pertahanan udara di darat sepertimana yang diumumkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) baru-baru ini merupakan keputusan yang sekian lama dinantikan-nantikan.
Di samping pembelian dua bateri sistem peluru berpandu pertahanan udara jarak sederhana (MERAD) kepada TUDM, Tentera Darat Malaysia (TDM) juga mendapat agihan sama.
Bagaimana pun, berbeza dengan TUDM perolehan TDM adalah sistem pertahanan udara jarak sangat dekat dan jarak dekat (VSHORAD dan SHORAD).
Perolehan sistem MERAD, SHORAD dan VSHORAD akan memastikan Malaysia dapat mewujudkan sistem pertahanan udara berlapis.
Walaupun pembelian VSHORAD dan SHORAD tidak diperincikan oleh MINDEF namun ia dijangka bagi keperluan Gerup Artileri Pertahan Udara (GAPU).
Dengan lima buah rejimen artileri pertahanan udara menggabungkan aset meriam dan peluru berpandu selain unit-unit organik termasuk radar pasif, GAPU merupakan komponen penting.
Sepertimana diketahui, beberapa aset sedia ada milik GAPU memerlukan penggantian, malah sebahagiannya telah melepasi jangka hayat penggunaan.

Manpad Piorun buatan Poland
Maka, perolehan baharu ini dilihat akan memberi fokus kepada dua jenis aset utama iaitu sistem Manpad (Man Portable Air Defence System) dan sistem peluru berpandu SHORAD.
Pembelian SHORAD juga bermakna sistem pengganti kepada Jernas bakal diputuskan.
Hampir dua dekad GAPU mengoperasikan sistem pelancar misil Jernas yang merupakan SHORAD terbaik dalam kelasnya.
Pembelian Jernas pada 2002 bernilai USD312 daripada MBDA dilihat sebagai permulaan pada evolusi baharu untuk pertahanan udara negara.
Jernas tidak lagi digunakan sejak 2022 setelah melepasi tempoh hayat penggunaan, dan sejak itu beberapa sistem persenjataan diintai sebagai pengganti.
Sistem Manpad yang berbeza-beza pula dioperasikan GAPU seperti Igla buatan Rusia, Anza Mk II (Pakistan) dan FN6 (China) termasuk Bateri 361 Para.
Pihak industri pertahanan pula sejak lapan tahun lalu telah mula mempamerkan pelbagai sistem Manpad dan SHORAD dalam cubaan mengintai pasaran di sini.
Bagi Manpad, antara yang boleh menjadi pertimbangan adalah sistem QW-19 buatan China dengan kelebihan dalam menghadapi ancaman seperti dron selain memiliki ciri-ciri pertahanan yang lebih canggih.

Manpad Starstreak
Selain itu, sistem Starstreak dari UK turut boleh dipertimbangkan kerana telah pun digunakan GAPU cuma dalam varian dipasang atas kenderaan.
Tidak ketinggalan versi terkini Igla-S dari Rusia yang dilihat sebagai pilihan mantap dalam pertahanan udara jarak dekat selain Piorun buatan Poland.
Sistem-sistem ini menawarkan kelebihan yang signifikan dalam mempertahankan aset negara daripada ancaman pesawat rendah, helikopter, serta ancaman dron yang semakin banyak digunakan dalam konflik moden.
Bagi SHORAD, sistem dipilih pastinya yang menepati dengan konsep operasi pertahanan udara negara mengikut doktrin GAPU.
Perkara ini juga menjadi penentu kepada apa sistem yang akan klasifikasi sebagai SHORAD, jadi pilihan yang ada lebih banyak.
Sebagai contoh, sistem IRIS-T buatan Jerman yang menawarkan jarak pertahanan sehingga 12 kilometer.
Keberkesanan IRIS-T di Ukraine menunjukkan sistem ini berfungsi dengan baik dalam keadaan medan pertempuran yang sebenar, menjadikannya pilihan yang berpotensi untuk Malaysia.

Sistem Pantsir
Jika memilih sistem SHORAD gabungan dua dalam satu, Pantsir adalah opsyen yang menggabungkan peluru berpandu permukaan ke udara dan meriam antipesawat.
Sistem ini beroperasi pada jarak 20km sehingga jarak sederhana bagi varian terbaharu.
Calon lain yang juga mempunyai potensi tinggi adalah sistem HISAR iaitu sistem pertahanan udara jarak dekat dan sederhana yang dibangunkan oleh Türkiye.

Sistem HISAR
HISAR adalah sebahagian daripada usaha Türkiye untuk mengukuhkan sistem pertahanan negaranya dengan teknologi domestik yang maju menerusi varian Hisar A+ (15km) dan Hisar O+ (25km+).
Walaupun perolehan yang berbeza bagi TDM, namun ada kemungkinan sistem SHORAD yang bakal menjadi pilihan adalah satu aset yang boleh diintegrasikan dalam rangkaian sama dengan milik TUDM.
Ini berlandaskan andaian terhadap integrasi sistem pertahanan udara berlapis yang bersepadu menggabungkan keupayaan MERAD.
Apa pun pilihan untuk VSHORAD dan SHORAD yang akan dibuat nanti, sistem pertahanan udara ini akan melengkapkan keupayaan pertahanan negara sepanjang dekad akan datang. -airtimes.my
#Airtimes #Pertahanan #MINDEF #TDM #TUDM #GAPU #MERAD #SHORAD #VSHORAD #Manpad
