Keupayaan udara menjadi elemen penentu dalam memastikan kelebihan strategik sesebuah negara, di tengah persaingan kuasa besar dan konflik serantau yang tidak menentu, F-35 Lightning II muncul sebagai aset utama yang mengubah pendekatan operasi ketenteraan moden.
Jet pejuang generasi kelima ini bukan sahaja membawa teknologi siluman canggih, bahkan berupaya mengintegrasikan pelbagai sistem peperangan sehingga menjadikannya platform udara paling dominan dalam operasi masa kini.
Pesawat F-35 telah terlibat secara aktif dalam beberapa operasi ketenteraan global yang menunjukkan keupayaannya melaksanakan misi berprofil tinggi.

F-35 Lightning II buatan Lockheed Martin./ Foto: Lockheed Martin
Amerika Syarikat (AS) misalnya, telah menggunakan F-35 dalam misi serangan ke atas sasaran strategik di Timur Tengah, termasuk memantau pergerakan militan dan melindungi aset penting daripada ancaman peluru berpandu.
Israel turut mengesahkan penggunaan F-35 dalam siri operasi sulit merentas sempadan yang mensasarkan infrastruktur militan, sekali gus membuktikan keberkesanan jet ini dalam operasi sebenar di kawasan bergolak.
Selain itu, F-35 memainkan peranan penting dalam operasi rondaan udara di Eropah sejak tercetusnya konflik Rusia-Ukraine.

F-35 merupakan jet pejuang generasi ke-5 lima tercanggih pada masa kini./ Foto: U.S Air Force
Kehadirannya di ruang udara NATO bukan sahaja meningkatkan tahap kesiapsiagaan, tetapi juga menghantar mesej jelas tentang kemampuan pakatan itu bertindak balas terhadap ancaman.
Keupayaan F-35 untuk mengesan, menjejak dan memintas pelbagai ancaman dari jarak jauh memberikan lapisan perlindungan tambahan kepada aset darat dan laut NATO.
Dalam konteks Asia Pasifik, F-35 menjadi elemen utama kepada negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia dalam usaha mengekang ancaman regional. Ketegangan di Laut China Selatan serta peningkatan kehadiran ketenteraan China menjadikan F-35 sebagai platform strategik untuk misi tinjauan jarak jauh dan operasi kawalan maritim.

Pesawat F-35 turut dioperasikan oleh negara-negara sekutu AS seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia./ Foto: U.S Air Force
Keupayaannya bertindak secara senyap dan melaksanakan serangan tepat menjadikannya instrumen penting dalam mengekalkan keseimbangan kuasa di rantau yang penuh sensasi geopolitik ini.
Secara asasnya, jet pejuang generasi kelima merujuk kepada pesawat tempur yang direka dengan teknologi siluman, sensor bersepadu, keupayaan rangkaian data lanjutan dan kecekapan aerodinamik yang tinggi.
Generasi ini menandakan peralihan daripada pesawat tempur tradisional kepada platform peperangan pintar yang dapat berfungsi sebagai pusat maklumat bergerak.

Pesawat ini berupaya mengintegrasikan pelbagai sistem peperangan./ Foto: U.S. Air Force
F-35 menjadi contoh paling menonjol dalam kategori ini kerana ia menggabungkan semua elemen tersebut ke dalam satu sistem tempur yang fleksibel dan serba boleh.
Dalam operasi sebenar, keberkesanan F-35 terserlah melalui kemampuan sensor fusion yang mengumpulkan maklumat daripada pelbagai sumber dan menyampaikannya secara masa nyata kepada juruterbang.
Ciri ini membolehkan pesawat mengesan ancaman lebih awal, membuat penilaian situasi dengan tepat dan melancarkan tindakan balas tanpa bergantung sepenuhnya pada arahan pihak luar. Pendekatan berasaskan data ini mengubah cara operasi ketenteraan dilaksanakan, menjadikan F-35 bukan sekadar pesawat tempur tetapi pusat kawalan udara bergerak.

Foto: U.S Air Force
Tambahan lagi, F-35 membenarkan operasi gabungan antara udara, darat dan laut melalui sistem rangkaian taktikal yang membolehkan perkongsian data secara menyeluruh. Dalam banyak operasi NATO, F-35 berfungsi menghantar data radar kepada kapal perang Aegis atau sistem pertahanan udara darat, sekaligus meningkatkan keupayaan keseluruhan pasukan.
Ini menjadikan setiap misi lebih bersepadu, lebih tepat dan kurang terdedah kepada kejutan taktikal daripada musuh.
Keupayaan operasi jauh F-35 juga memberikan kelebihan dalam misi serangan strategik. Dengan muatan senjata yang mampu disorok dalam ruang dalaman, pesawat ini dapat menembusi kawasan pertahanan udara musuh tanpa dikesan radar. Konsep “first look, first shot, first kill” yang digabungkan pada F-35 menjadikannya ancaman signifikan kepada sistem pertahanan udara moden termasuk radar jarak jauh dan bateri peluru berpandu permukaan ke udara.

Foto: Lockheed Martin
Dalam konteks peperangan moden, penggunaan F-35 memberi implikasi besar terhadap perancangan operasi sesuatu angkatan udara. Negara yang mengoperasikan jet ini mempunyai keupayaan untuk melaksanakan misi bersama tanpa bergantung pada platform sokongan yang banyak.
Ini sekali gus menjimatkan kos operasi jangka panjang dan memudahkan penugasan pesawat dalam pelbagai senario konflik yang kompleks. Keupayaannya menyesuaikan diri kepada pelbagai keadaan menjadikannya lebih fleksibel berbanding generasi sebelumnya.
Akhirnya, F-35 membawa dimensi baharu dalam cara peperangan udara dilaksanakan pada era mode, ia bukan sekadar simbol kekuatan ketenteraan tetapi platform yang mengubah doktrin operasi udara melalui teknologi selari dengan keperluan medan perang masa depan. -airtimes.my
#AirTimes #Pertahanan #TeknologiKetenteraan #F35 #JetPejuang #PeperanganModen
