Pada 3 September lalu, sebuah operasi gabungan besar antara Tentera Udara Norway dan Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) telah dilaksanakan di Laut Norway, berhampiran Andøya, Nordland. Operasi tersebut menyaksikan kehadiran pesawat pengebom stealth B-2 Spirit milik USAF melepaskan bom generasi baharu ke arah sasaran maritim. Serangan itu diiringi 4 pesawat F-35A Lightning II dan sebuah pesawat rondaan maritim P-8 Poseidon milik Norway.
Ujian ini digambarkan sebagai senario serangan jarak jauh yang realistik, dengan penglibatan pelbagai aset udara, laut dan ruang angkasa. Selain elemen udara, operasi turut disokong oleh Sjøforsvaret (Tentera Laut Norway) serta infrastruktur di Andøya Space, menjadikannya satu demonstrasi penuh aspek multi-domain operations.
Ujian sistem persenjatan ini dilaksanakan pada awal September lalu.
QUICKSINK – senjata maritim generasi baharu
Senjata yang diuji ialah sistem QUICKSINK, hasil pembangunan Air Force Research Laboratory (AFRL). QUICKSINK direka untuk memberikan keupayaan serangan maritim presisi yang lebih kos efektif berbanding torpedo tradisional, tetapi dengan keupayaan untuk menenggelamkan kapal permukaan secara cepat dan tepat.
B-2 Spirit memainkan peranan utama dengan melepaskan QUICKSINK ke arah sasaran. Ini sekali gus mengesahkan dua aspek penting: keupayaan senjata itu sendiri, serta kelebihan berterusan B-2 dari segi stealth, jarak operasi dan fleksibiliti muatan.
Operasi ini turut mengesahkan fungsi baharu B-2 sebagai platform serangan maritim, di luar peranan tradisionalnya sebagai pengebom strategik.

Ujian serangan bom QUICKSINK baru-baru ini memberikan isyarat bahawa AS dan NATO sedang membangunkan pakej serangan maritim baharu. Foto: Tentera Norway
Kerjasama rapat Norway-AS
Vice Admiral Rune Andersen, Ketua Markas Operasi Tentera Norway (FOH), menekankan kepentingan operasi ini sebagai lambang kerjasama erat Norway-AS selama lebih 75 tahun.
“Kami amat berpuas hati kerana Amerika Syarikat memilih untuk menguji senjata baharu bersama angkatan Norway. Ini menunjukkan bahawa USA memberi keutamaan kepada kestabilan dan keselamatan di kawasan utara Eropah,
”Kestabilan di rantau ini adalah kritikal bukan sahaja untuk Norway, tetapi juga bagi keselamatan Eropah dan Amerika Syarikat,” katanya.
Menurut Andersen lagi, penglibatan Norway bukan sekadar bersifat operasi, malah termasuk penyediaan infrastruktur, ruang udara dan sokongan logistik yang penting untuk memastikan ujian dilaksanakan dalam persekitaran sebenar yang mencabar.
Perspektif USAF
Komander 53rd Wing USAF, Kolonel Scott Gunn, menyifatkan operasi itu sebagai contoh jelas bagaimana kerjasama dengan sekutu mampu mempercepatkan penerapan keupayaan baharu.
“Ini adalah contoh bagaimana kita bersama sekutu memperkenalkan keupayaan baharu dengan lebih cepat dan bijak. Kita bukan sekadar bersedia untuk masa depan, tetapi membentuknya bersama,” ujar Gunn.
Sementara itu, Komander 72nd Test and Evaluation Squadron, Leftenan Kolonel Stephen Bressett, menegaskan kepentingan aspek kesediaan rentas Atlantik.
“Kami membina kesiagaan di kedua-dua belah Atlantik dan mewujudkan pilihan yang menjadikan serangan maritim lebih tersebar, lebih tahan dan lebih bersepadu,
”Kami menjangka, menyesuaikan diri dan bertindak balas terhadap keperluan kepimpinan pada kelajuan yang sesuai dengan persekitaran strategik semasa,” katanya.

Tentera Udara Amerika Syarikat dan Norway memperagakan keupayaan serta peranan aset masing-masing dalam ujian QUICKSINK baru-baru ini. Foto: USAF
Implikasi operasi
Operasi ini memberi implikasi besar terhadap konsep peperangan maritim moden. Integrasi antara pesawat stealth strategik (B-2), jet pejuang generasi kelima (F-35), pesawat rondaan maritim (P-8), serta rangkaian penderia dan komunikasi jarak jauh membuktikan konsep sensor-to-shooter di medan sebenar.
Selain QUICKSINK, operasi turut menguji taktik, teknik dan prosedur (TTP) baharu, termasuk komunikasi di luar garisan pandangan (BLOS) dan penyelarasan sasaran pelbagai domain. Ini adalah elemen penting dalam persekitaran konflik yang sangat dipertandingkan, terutamanya di kawasan seperti Laut Utara dan Artik.
Signifikan kepada Norway dan NATO
Bagi Norway, penglibatan dalam ujian ini mengukuhkan lagi peranannya sebagai sekutu hadapan NATO di kawasan utara.
Lokasi geografi Norway yang strategik, di pintu masuk ke Artik dan berhampiran laluan laut penting, menjadikan negara itu aset kritikal dalam konteks keselamatan trans-Atlantik.
Ujian ini juga menunjukkan bahawa NATO semakin memberi tumpuan kepada kestabilan di kawasan High North, di mana kepentingan ia menjadi titik pertembungan kepentingan Rusia, Eropah dan Amerika Syarikat.
Keupayaan untuk mengintegrasikan sistem baharu seperti QUICKSINK dalam operasi sebenar memberikan mesej jelas tentang kesediaan sekutu untuk menghadapi ancaman maritim.
Ujian gabungan Norway-AS di Laut Norway bukan sekadar demonstrasi teknologi, tetapi satu isyarat strategik.
QUICKSINK berpotensi mengubah landskap peperangan maritim dengan menjadikan serangan ke atas kapal permukaan lebih berpatutan, fleksibel dan tepat.
Pada masa yang sama, penglibatan Norway menegaskan bahawa kestabilan di utara adalah kepentingan bersama, bukan sahaja bagi Oslo dan Washington, tetapi juga bagi keseluruhan NATO. – airtimes.my
#AirTimes #Artikel #TeknologiPertahanan #Quicksink #B-2 #US #Norway #NATO















