Pengisytiharan kemerdekaan
Laungan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali oleh Tunku Abdul Rahman dan disambut dengan bergemuruh oleh rakyat yang hadir merupakan kemuncak pada upacara pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
Tanggal 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pagi di hadapan Raja-Raja Melayu dan 20,000 rakyat Persekutuan Tanah Melayu serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel.
Laungan ‘Merdeka’ itu adalah pada akhir pengisytiharan tersebut oleh Tunku Abdul Rahman.
Maka, berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Queen ke atas Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170 tahun.
Setiap kali sambutan Hari Kebangsaan, visual Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman melafazkan laungan keramat ‘Merdeka’ kerap diputar semula baik di kaca televisyen mahupun paparan media sosial.
Pada masa sama, sosok seorang pegawai lelaki di sebelah beliau pasti menancap mata kita.
Mungkin ramai dalam kalangan kita sering tertanya-tanya siapakah pegawai tentera berpangkat Kapten yang berdiri di sebelah Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman sewaktu lafaz kemerdekaan dilaungkan di Stadium Merdeka ketika itu?
Visual yang sama akan kerap dimainkan sepanjang masa setiap kali memperingati hari kemerdekaan.
Pegawai berkenaan ialah Allahyarham Mejar (B) Mohd. Khalid Abdul Hamid yang ketika itu berpangkat Kapten.
Beliau telah melalui era penuh cabaran bermula semasa Perang Dunia Kedua, Darurat dan Konfrontasi sehingga bersara daripada perkhidmatan tentera pada 1965.
Beliau merupakan antara sebahagian daripada mereka yang menggerakkan persiapan majlis menyambut kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Khalid pada masa itu berpangkat Kapten menjawat sebagai Pegawai Undang-undang di Malaya Command (kini Kementerian Pertahanan).
Beliau adalah satu-satunya pegawai tempatan yang amat bertuah apabila diberi penghormatan menjadi juruiring tentera untuk menyerahkan Suratcara Kemerdekaan kepada Tunku Abdul Rahman pada hari keramat tersebut.

Kapten Mohd. Khalid berkesempatan berjalan mengiringi Tunku Abdul Rahman serta diberi tanggungjawab membawa Suratcara Kemerdekaan pada hari keramat 31 Ogos 1957. Gambar Hiasan
Pada detik yang dinantikan itu, Kapten Mohd. Khalid begitu tenang mengawal diri menghadapi suasana tersebut kerana ia akan berhadapan dengan Raja-raja Melayu, pegawai tertinggi British sebagai mewakili Ratu Elizabeth II iaitu Duke of Gloucester dan ribuan rakyat Tanah Melayu yang tidak sabar hendak melaungkan kata-kata keramat ‘merdeka’.
Bagi memastikan acara itu berjalan dengan sempurna, beberapa hari sebelum itu, mereka telah memulakan latihan kawad di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur selama tiga hari.
Perbarisan kawalan kehormatan pada hari tersebut diketuai Mejar Abdul Hamid Bidin yang ketika itu Penolong Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu.
Abdul Hamid kemudian menjadi Ketua Turus Tentera Darat (kini Panglima Tentera Darat) dan anak Melayu kedua memegang jawatan sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera (kini jawatan Panglima Angkatan Tentera Malaysia).
Siapa Kapten Khalid?
Dilahirkan pada September 1920, anak kelahiran Taiping, Perak ini memulakan perkhidmatan sebagai Prebet di dalam Askar Melayu dan naik setingkat demi setingkat sebelum ditauliahkan sebagai pegawai pada 1949.
Mungkin namanya tidak dikenali sepertimana Allahyarham Lt Adnan Saidi, bagaimana pun Mejar Mohd. Khalid memainkan peranan yang berbeza tetapi amat signifikan dalam sejarah negara.
Bapa beliau, Mohd. Hamid berketurunan Punjab berasal dari Sind, India dan berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1870 bertugas sebagai anggota Malay States Guides di Taiping.
Pasukan ini sebahagian daripada Garison Negeri-negeri Selat yang keanggotaannya dikhususkan kepada berbangsa India.

Allahyarham Mejar (B) Mohd. Khalid Abdul Hamid, pegawai tentera yang mengiringi Tunku Abdul Rahman pada detik bersejarah pengisytiharan kemerdekaan 1957. Gambar Hiasan
Mohd. Khalid adalah salah seorang daripada rekrut pengambilan khas bagi penubuhan Kompeni W, iaitu kompeni tambahan selepas ambilan Askar Melayu sebelum itu bagi mengisi Kompeni Percubaan Askar Melayu seramai 382 orang kesemuanya ditukar menjadi Rejimen Askar Melayu pada Januari 1935.
Kompeni W ialah kompeni kedua selepas penubuhan tiga Kompeni Percubaan Askar Melayu terdahulu, di mana skuad kompeni ini bermula dari nombor tentera 1097 hingga 1199.
Mohd. Khalid memakai nombor tentera 1163. Kompeni ini kemudian disusun semula pada Disember 1941 dengan kekuatan seramai 453 anggota yang menjadi asas kepada penubuhan Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu sebaik meletus Perang Dunia Kedua.
Semasa perang, kompeni ini dibahagikan kepada dua iaitu A Kompeni dan D Kompeni dengan kelengkapan yang serba kekurangan berbanding batalion pertama.
Wira tidak didendang
Mohd. Khalid melapor diri semula di Port Dickson selepas tamat Perang Dunia Kedua dengan jumlah keseluruhan kira-kira tiga kompeni berjaya dikumpulkan.
Beliau secara rasmi ditauliahkan sebagai Lt Muda pada 1949 dan ditukarkan ke Batalion Tiga Askar Melayu. Pada tahun 1958, beliau dihantar mengikuti kursus Ketua Kompeni di Warminister dan sekembalinya ke tanah air dilantik sebagai Ketua Kompeni Markas di batalion yang sama.
Jujurnya, tidak banyak sumber atau media yang mengisahkan tentang beliau terutama peranannya semasa hari pertama ‘merdeka’ dilaungkan.
Bagaimanapun, pada tahun 2001, Markas Tentera Darat ketika itu telah menerbitkan sebuah memoir tentang beliau dan merupakan satu-satunya dokumentasi bertulis tentang biografi dan sejarah perkhidmatan Mejar Mohd. Khalid.
Penulisan buku memoir ini diilhamkan oleh Panglima Tentera Darat ketika itu, Jeneral Tan Sri Md. Hashim Hussein.
Buku tersebut ditulis oleh Mejar Dzulkafli Hj Mustafa (bersara Mejar Jeneral, Panglima 1 Divisyen Infantri) yang bertindak sebagai Ketua Pengarang.

Allahyarham Mejar (B) Mohd. Khalid ketika menerima kunjungan mesra pegawai kanan Tentera Darat selepas bersara daripada perkhidmatan. Gambar Hiasan
Buku ini telah dilancarkan pada 9 November 2001 oleh Mejar (B) Mohd. Khalid sendiri yang saksikan oleh Jen Tan Sri Md Hashim dan puluhan warga bekas perajurit yang sebahagian besarnya adalah mereka yang pernah berkhidmat bersama-sama Khalid.
Dalam memoirnya, Mejar (B) Mohd. Khalid memberitahu;
Tunku amat ceria sekali ketika itu untuk menyempurnakan pengistiharaan kemerdekaan. Dengan berpakaian baju Melayu lengkap sebagai seorang anak raja negeri Kedah, beliau melangkah dengan penuh semangat.
Kapten Mohd. Khalid
Mejar (B) Mohd. Khalid Abd Hamid menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2005 di kediamannya di Kamunting, Taiping, Perak kira-kira jam 9.15 malam kerana sakit tua.
Allahyarham yang berusia 85 tahun ketika itu meninggalkan lima anak perempuan dan dua lelaki berusia 37 hingga 48 tahun serta 21 cucu.-airtimes.my
#AirTimes #Merdeka #SejarahNegara #AskarMelayu #PengisytiharanKemerdekaan #31Ogos1957
