Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia konsisten desak PBB hantar segera pasukan pengaman ke Gaza

Malaysia konsisten desak PBB hantar segera pasukan pengaman ke Gaza

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 2 Sept – Malaysia konsisten mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya segera menghantar pasukan pengaman ke Palestin, khususnya di Gaza, bagi menghentikan genosid beramai-ramai yang sedang berlaku.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Malaysia terus memperjuangkan nasib dan hak rakyat Palestin melalui platform antarabangsa termasuk PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN, selain bekerjasama rapat dengan negara-negara sehaluan untuk meningkatkan tekanan diplomatik.

“Pendirian ini dizahirkan melalui kenyataan rasmi, sokongan terhadap resolusi berkaitan dan inisiatif baharu yang diumumkan Malaysia dalam UN Peacekeeping Ministerial 2025,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Hussin Ismail yang ingin tahu mengenai usaha dan cabaran bagi menggesa penghantaran pasukan pengaman PBB ke Gaza agar genosid yang berlaku dapat dihentikan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lima inisiatif baharu telah diperkenalkan sebagai Aku Janji Malaysia dalam memperkukuh peranan negara dalam misi pengaman dunia.

Antara inisiatif tersebut adalah mendaftarkan satu batalion infantri dalam Peacekeeping Capability Readiness System (PCRS) bagi membolehkan ia diatur gerak segera sekiranya mandat misi pengaman diluluskan Majlis Keselamatan PBB.

“Selain itu, meningkatkan keupayaan Pasukan Pemusnah Bom (EOD) untuk Malaysian Battalion (MALBATT) di Lubnan, meneruskan penawaran kursus latihan pengaman, mengukuhkan penyertaan wanita dalam misi pengaman serta menyediakan pasukan latihan bergerak dan pakar perubatan bagi menyokong misi PBB,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, Adly Zahari mengakui usaha itu berdepan cabaran besar termasuk kuasa veto anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dan risiko keselamatan pasukan di kawasan konflik.

“Justeru, Kementerian Pertahanan menyokong penuh usaha Kementerian Luar Negeri untuk memperkukuh tekanan diplomatik dan membina konsensus antarabangsa, agar pasukan pengaman dapat segera dihantar ke Gaza,” tegasnya.-airtimes.my

#pertahanan #Malaysia #Gaza #airtimes #DewanNegara #MALBATT

Leave a Reply