Home DiskusiKolumnis: Selepas 68 tahun kemerdekaan, apa persediaan rakyat jika berdepan krisis?

Kolumnis: Selepas 68 tahun kemerdekaan, apa persediaan rakyat jika berdepan krisis?

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

Seperti tahun-tahun sudah, 31 Ogos disambut dengan penuh gilang gemilang.

Perarakan Hari Kebangsaan peringkat nasional dan negeri pula adalah kemuncaknya sebagai perlambangan kemajuan selepas negara bebas daripada penjajahan.

Saban tahun juga kisah-kisah sebelum kemerdekaan seperti perjuangan pahlawan-pahlawan lampau diceritakan sebagai sebahagian pengisian hari kemerdekaan.

Begitu juga, salah satu sambutan rakyat di seluruh negara turut cenderung ke arah acara bercorak hiburan, tidak ketinggalan pertunjukan bunga api.

Realitinya, aura kemerdekaan yang melepasi masa 68 tahun lalu sudah semakin jauh daripada generasi hari ini terutamanya kelompok berusia bawah 30 tahun.

Tahun-tahun susah seperti era 60an, 70an dan 80an ketika negara sedang merangkak ke arah pembangunan tidak mereka rasai. Zaman di mana hanya ada dua saluran televisyen, pergi ke sekolah berjalan kaki manakala ayam merupakan makanan mewah.

Persoalannya di sini ialah selepas 68 tahun kemerdekaan dan rakyat berada dalam kehidupan selesa, apakah kita bersedia sekiranya negara berdepan dengan krisis?

Krisis boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, sama ada keruntuhan ekonomi, ketidaktentuan politik, sosial dan fasa genting ialah konflik bersenjata.

Konflik Thailand dan Kemboja misalnya, apakah yang wajar dipelajari oleh Malaysia terutamanya dalam konteks persediaan pertahanan untuk memperkasakan keselamatan luar negara.

Dalam dunia moden, konflik tidak semestinya dimulakan oleh negara berdaulat sahaja, sebaliknya ia boleh datang dalam bentuk ancaman bukan konvensional (militan, pengganas dan proksi asing).

Persoalannya, apakah aspek cegah rintang yang kita ada cukup untuk menghadapi ancaman?

Cegah rintang bukan sekadar menunjukkan kekuatan, tetapi kebolehan untuk bertindak balas dengan cepat dan tepat.

Malaysia perlu menilai semula kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) daripada aspek kelengkapan, latihan dan kerjasama pertahanan serantau.

Selain peranan ATM dan pasukan keselamatan lain, bagaimana pula daripada segi psikologi rakyat jelata yang tidak biasa berdepan konflik

Ini kerana menghadapi bencana alam seperti banjir tidak sama dengan suasana konflik keselamatan.

Kali terakhir Malaysia terbabit konflik sempadan ialah pada 2013 semasa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Selepas 12 tahun, apa yang negara telah pelajari daripada insiden pencerobohan di Lahad Datu?

Psikologi rakyat dan cabaran kesediaan mental merupakan perkara penting.

Setuju atau tidak, rakyat Malaysia generasi hari ini tidak sama dengan generasi 40 tahun terdahulu.

Mereka yang hidup pada 40 tahun lepas sebahagian besarnya pernah berdepan dengan situasi sukar iaitu era sebelum kemerdekaan, darurat dan Insurgensi.

Mereka adalah generasi yang biasa dengan suasana kehidupan yang susah dan mempunyai daya tahan yang tinggi.

Sebaliknya, generasi rakyat Malaysia hari ini secara umum tidak pernah mengalami konflik ketenteraan terbuka, melainkan insiden-insiden kecil seperti Lahad Datu.

Ini menjadikan daya tahan psikologi (mental resilience) sebagai isu penting yang perlu ditangani awal.

Dalam bencana alam, musuh tidak kelihatan dan bantuan biasanya diterima dengan baik.

Bagaimana pun, dalam konflik ketenteraan, terdapat unsur ketakutan, kebimbangan keselamatan peribadi dan ancaman kepada nyawa serta harta.

Tidak seperti beberapa negara lain, kita tidak pernah mengadakan simulasi bencana alam skala nasional.

Ini sebenarnya satu keperluan kerana melalui latihan simulasi rakyat diajar apa yang berlaku dan bagaimana menghadapi situasi cemas. Mesti ada pelan untuk rakyat menyelamatkan diri dan di mana saluran atau tempat selamat.

Kontingensi kecemasan perlu melibatkan kerjasama banyak pihak termasuk pengendali lebuhraya, sistem pengangkutan awam selain elemen kebajikan dan keselamatan.

Simulasi kecemasan membina kesedaran awam tentang keselamatan dan latihan psikologi komuniti boleh dijadikan asas kepada pembentukan masyarakat tangkas menghadapi konflik.

Jika ada pun suasana sukar di negara ini selain banjir ialah apabila sesetengah tempat terputus bekalan air, contohnya di Selangor.

Keadaan terputus bekalan air sebenarnya salah satu daripada situasi cemas, itu pun sehingga kini negara tiada pelan nasional melainkan tindakan yang dilakukan oleh syarikat pengendali air.

Sehubungan itu, penting untuk Malaysia membina naratif nasional yang menekankan kesatuan dalam menghadapi ancaman luar, tidak kira kaum, agama atau politik.

Ini khususnya pembinaan daya tahan strategik (strategic resilience) daripada aspek ekonomi hingga bekalan makanan dan tenaga.

Semuanya perlu cukup kukuh untuk menyerap tekanan sekiranya konflik berlaku.

Kesimpulannya, konflik Thailand-Kemboja memberikan satu peringatan strategik kepada Malaysia.

Sebagai sebuah negara yang berkongsi sempadan darat dan laut dengan pelbagai negara, Malaysia tidak boleh memandang ringan potensi konflik.

Pelaburan dalam pertahanan, kesedaran rakyat, dan kerjasama serantau adalah kunci utama.

Kesiapsiagaan bukan bermakna kita menjangkakan perang, tetapi ia bermakna kita bersedia agar perang tidak berlaku.

Lebih penting bagaimana membina kesiapsiagaan kepada rakyat untuk perlu berdepan dengan konflik dan suasana sukar yang panjang.

Ingat, rakyat dan negara perlu menjadi lebih kuat untuk mempertahankan kemerdekaan selain kalis cabaran, ia tidak cukup sekadar laungan ‘merdeka’. – AIRTIMES.MY

Related Articles

Leave a Reply