Home SemasaAnwar: Ekonomi kekal tumbuh 4.4 peratus meski hadapi cabaran global

Anwar: Ekonomi kekal tumbuh 4.4 peratus meski hadapi cabaran global

by M.Daim
A+A-
Reset

SERDANG, 30 OGOS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ekonomi Malaysia kekal kukuh dengan pertumbuhan 4.4 peratus pada suku kedua tahun ini meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global.

Beliau berkata pencapaian itu dicapai walaupun dunia berdepan perang dagang antara Amerika Syarikat dan China, tekanan tarif serta ketidakstabilan politik antarabangsa.

“Suku kedua tahun ini, 2025, kita catat 4.4 peratus pertumbuhan. Ini dalam keadaan geopolitik dan ekonomi negara tidak menentu, dalam keadaan pertarungan dan peperangan dagang di antara Amerika Syarikat dan negara China memuncak. Dalam keadaan tarif itu menekan,” katanya semasa menyampaikan Amanat Hari Kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini.

Anwar menegaskan bahawa Malaysia mengambil pendekatan berpaksikan prinsip ASEAN centrality dengan mengekalkan hubungan baik dengan kedua-dua kuasa besar.

“Kita ambil pendekatan sama dengan ASEAN centrality. Berbaik dengan negara China, dan berbaik dengan Amerika Syarikat. Dua minggu lalu saya terima telefon daripada Presiden Donald Trump. Esok, selesai perbarisan Merdeka, saya akan ke negara China atas undangan Presiden Xi Jinping. Itu kebijaksanaan Malaysia,” ujarnya.

Perdana Menteri berkata pendekatan berimbang itu membolehkan kepentingan negara dan rakyat terus terpelihara tanpa terjebak dalam konflik geopolitik.

“Ada hal yang kita tidak setuju, tetapi itu kebijaksanaan rakan-rakan kita dalam pimpinan negara ini kerana memilih untuk jaga kepentingan negara dan rakyat negara. Kalau ambil sentimen orang yang ekstrem, perang di sana, perang di sini, rakyat merempat,” jelasnya.

Dalam masa sama, Anwar menegaskan Malaysia kekal tegas terhadap isu kemanusiaan dan Palestin.

“Kalau ambil pendekatan kita, tegas dalam soal Gaza, tegas dalam soal kemanusiaan, tetapi tetap pertahankan persahabatan supaya rakyat tidak terkorban dan ekonomi kita harus meningkat. Sebab itu kita masih catat 4.4 peratus suku kedua tahun ini,” katanya.

Beliau menekankan bahawa keseimbangan dalam diplomasi antarabangsa adalah kunci untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara dan melindungi kesejahteraan rakyat di tengah-tengah cabaran global. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply