KUALA LUMPUR, 30 OGOS – Hubungan Malaysia dan Turkiye disifatkan berada pada tahap paling erat dalam sejarah kedua-dua negara.
Perkara itu dinyatakan oleh Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel yang menyifatkan hubungan kedua-dua negara sedang melalui ‘Zaman Keemasan.
Menurut beliau, perkara tersebut dicapai apabila hubungan Malaysia dan Turkiye telah meterai Kerangka Kerjasama Komprehensif Strategik (Comprehensive Strategic Partnership, CSP) pada tahun 2022.
“Hubungan kedua-dua negara berkembang sangat baik dengan sokongan politik yang kuat,” kata Yuksel dalam wawancara khas bersama Air Times.
Beliau menambah, status ini CSP merupakan hubungan dua hala tahap tertinggi yang dicapai oleh mana-mana negara.
“Matlamat (kerjasama ini) adalah untuk memperluas kerjasama dalam semua sektor termasuk ekonomi, budaya, sosial, pertahanan dan teknologi,” kata Yuksel selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Kemenangan ke-103 dan Hari Angkatan Tentera Türkiye.
Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Ts. Shamsuddin Ludin sebagai tetamu kehormat.
Yuksel menambah, hubungan erat itu dibuktikan melalui lawatan Presiden Erdogan ke Malaysia pada Februari lalu, selain lawatan kerja Perdana Menteri Malaysia ke Turkiye sebelum ini. Menurutnya, Ankara juga berhasrat untuk menerima kunjungan rasmi Perdana Menteri Malaysia dalam masa terdekat.
“Kami percaya hubungan ini sedang melalui era keemasan. Malaysia dan Turkiye sememangnya dekat antara satu sama lain sejak dahulu lagi, tetapi kali ini tahapnya lebih penting dan lebih rapat. Kami mahu meningkatkan lagi hubungan ini ke tahap setinggi mungkin,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa Turkiye berhasrat mengembangkan kerjasama dengan Malaysia dalam bidang industri dan teknologi, termasuk pengeluaran bersama dalam sektor pertahanan.
“Harapan kami adalah untuk menjadi rakan kongsi sejati Malaysia. Kami mahu mengusahakan projek bersama dalam industri, meningkatkan pelaburan dua hala, serta merancang pengeluaran bersama dalam bidang pertahanan dan teknologi,
“Interaksi antara universiti, pelajar dan masyarakat juga perlu diperluas,” jelasnya.
Duta Turkiye menambah bahawa hubungan erat kedua-dua negara bukan sahaja mencerminkan kerjasama peringkat kerajaan tetapi turut melibatkan rakyat.
Katanya, pertukaran budaya dan pendidikan akan menjadi asas pengukuhan hubungan jangka panjang.
“Kami mahu interaksi ini direalisasikan sebanyak mungkin, agar hubungan dua hala terus berkembang di semua peringkat,” katanya.
Beliau optimis bahawa kerjasama strategik Malaysia–Turkiye akan memberi manfaat bersama dalam menghadapi cabaran global. – airtimes.my
#AirTimes #malaysia #turkiye
