Home Teknologi PertahananTurkiye sedia tingkat kerjasama pertahanan dan teknologi dengan Malaysia

Turkiye sedia tingkat kerjasama pertahanan dan teknologi dengan Malaysia

by M.Daim
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 30 OGOS – Turkiye menegaskan komitmen untuk memperluas kerjasama dengan Malaysia dalam bidang pertahanan dan teknologi sebagai sebahagian daripada Comprehensive Strategic Partnership (CSP) yang dimeterai sejak 2022.

Duta Turkiye ke Malaysia berkata, kedua-dua negara mempunyai potensi besar untuk melaksanakan projek bersama, khususnya dalam industri pertahanan.

“Kami (Turkiye) mahu menjadi rakan kongsi sebenar Malaysia. Hubungan ini tidak hanya sekadar diplomatik, tetapi harus diterjemahkan melalui projek bersama dalam industri, pertahanan dan teknologi,” katanya dalam wawancara bersama Air Times.

Beliau menjelaskan, Turkiye menyasarkan peningkatan pelaburan dua hala dengan Malaysia serta merancang pengeluaran bersama dalam sektor strategik. Pendekatan ini, katanya, akan membolehkan kedua-dua negara berkongsi kepakaran dan memperkukuh daya saing industri masing-masing.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan memperluas interaksi akademik dan pendidikan sebagai pelengkap kepada kerjasama strategik.

“Kami berusaha meningkatkan interaksi antara pelajar, universiti dan ahli akademik kedua-dua negara. Elemen pendidikan ini akan menyokong perkembangan hubungan jangka panjang,” jelasnya.

Sebagai latar, Turkiye kini dikenali sebagai antara negara yang pesat membangun dalam industri pertahanan dengan pengeluaran pelbagai aset termasuk pesawat tanpa pemandu (UAV), kapal perang, kenderaan perisai dan sistem persenjataan moden. Potensi kerjasama dengan Malaysia dijangka membuka peluang baharu kepada industri pertahanan tempatan.

Duta itu menegaskan bahawa hubungan erat kedua-dua negara perlu disokong dengan inisiatif nyata dalam bentuk pelaburan dan pengeluaran bersama bagi memberi impak lebih besar kepada pembangunan ekonomi dan keselamatan serantau. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply