STOCKHOLM, 30 OGOS – Saab telah menandatangani kontrak dengan Pentadbiran Peralatan Pertahanan Sweden (FMV) bagi membangunkan kenderaan bawah laut tanpa pemandu bersaiz besar atau Large Uncrewed Undersea Vehicle (LUUV).
Nilai kontrak tersebut adalah sebanyak SEK60 juta (RM26.2 juta), dengan Saab bertindak sebagai kontraktor utama bertanggungjawab terhadap reka bentuk, pembinaan dan ujian sistem baharu itu.
Menurut Saab, projek ini akan menggunakan sistem kawalan autonomi syarikat berkenaan, Autonomous Ocean Core, yang berupaya mengendalikan operasi di permukaan dan bawah laut. Ujian laut pertama dijadual berlangsung pada musim panas 2026.
“Adalah sesuatu yang menggembirakan apabila bersama FMV dan Angkatan Tentera Sweden, kami dapat bekerjasama pantas untuk membangunkan sistem canggih baharu dalam tempoh singkat,
“Di Saab, kami dapat menunjukkan keupayaan untuk menyampaikan sistem yang berkesan dan menepati cabaran semasa serta masa depan. Projek ini membolehkan penciptaan penyelesaian inovatif yang boleh memberi kemajuan ketara dalam teknologi bawah laut, selaras dengan pembangunan autonomi yang sedang kami jalankan,” kata Mats Wicksell, Ketua Bahagian Perniagaan Kockums Saab, dalam kenyataan syarikat itu.
Keperluan memantau serta memetakan infrastruktur dasar laut, termasuk mengesan dan menangkis ancaman bawah permukaan, semakin penting dalam konteks keselamatan maritim moden. LUUV akan berfungsi sebagai platform sensor dengan pelbagai keupayaan sokongan, khususnya sebagai alat sokongan keputusan untuk pengendali.
Saab menegaskan kenderaan ini tidak akan dilengkapi senjata pada peringkat awal pembangunan. Sebaliknya, fokus adalah kepada peranan pengawasan, pemetaan dan pengesanan ancaman di bawah laut.
Projek ini dijangka menjadi sebahagian daripada usaha Sweden memperkukuh kemampuan pertahanan maritimnya, khususnya di kawasan Laut Baltik yang semakin strategik. Pada masa sama, ia memperlihatkan kemajuan industri pertahanan Sweden dalam membangunkan teknologi berautonomi tinggi. – airtimes.my
