Home SemasaAnwar akan adakan lawatan kerja ke China, hadiri Sidang Kemuncak SCO

Anwar akan adakan lawatan kerja ke China, hadiri Sidang Kemuncak SCO

by M.Daim
A+A-
Reset

PUTRAJAYA, 30 OGOS – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Republik Rakyat China (RRC) dari 31 Ogos hingga 3 September ini, atas jemputan Presiden Xi Jinping.

Menurut Wisma Putra, lawatan itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan Sambutan Ulang Tahun ke-80 Kejayaan Rakyat China dalam Peperangan Menentang Pencerobohan Jepun serta Peperangan Anti-Fasis Sedunia.

Anwar akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Kementerian itu berkata penyertaan Malaysia mencerminkan komitmen negara untuk terus memperkukuh hubungan dengan China, selain menzahirkan solidariti terhadap pengorbanan rakyat China pada era Perang Dunia Kedua.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, penyertaan Malaysia di Sidang Kemuncak SCO juga menunjukkan kesediaan negara memperkukuh hubungan ASEAN–SCO serta mengangkat peranan Malaysia sebagai pengantara bagi meneroka potensi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, perdagangan dan isu berkepentingan bersama,” jelas kenyataan itu.

Anwar dijadual menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak SCO, dengan menekankan komitmen Malaysia untuk meletakkan ASEAN sebagai hab perdagangan dinamik dan destinasi pilihan pelaburan berkualiti.

Beliau turut dijadual membuat kunjungan hormat ke atas Presiden Xi dan mengadakan mesyuarat dua hala dengan Premier Li Qiang, bagi membincangkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa. Premier Li juga akan menjadi hos majlis makan malam rasmi meraikan Anwar dan delegasi Malaysia.

Selain itu, Anwar akan mengadakan sesi perbincangan dengan komuniti perniagaan China dan Malaysia.

Malaysia dan China telah menjalin hubungan diplomatik sejak 31 Mei 1974. China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut sejak 2009. Nilai dagangan antara Malaysia dan China pada 2024 berjumlah RM484.12 bilion, iaitu 16.8 peratus daripada jumlah perdagangan global negara sebanyak RM2.879 trilion. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #China

Related Articles

Leave a Reply