Jika ‘Plan B’ iaitu mendapatkan khidmat pesawat tempur secara sewaan daripada pihak ketiga sebagai pengganti Hornet terpakai Kuwait, kerajaan juga perlukan ‘Plan C’ sebagai opsyen lain. Opsyen tersebut ialah melaksanakan
perolehan Fasa 2 pesawat tempur ringan (LCA/FLIT) FA-50M dari Korea Selatan bagi mengimbangi keperluan TUDM. Fasa 2 yang dirancang adalah melibatkan sebanyak 18 buah pesawat bagi melengkapkan keperluan memiliki 36 buah kesemuanya sepertimana digariskan dalam rancangan CAP55.
Sepertimana diketahui, pesawat FA-50M merupakan salah satu perancangan utama dalam CAP55 bertujuan meningkatkan kemampuan pertahanan udara negara menjelang tahun 2055. MINDEF dan Korea Aerospace Industries (KAI) menandatangani kontrak pembelian 18 buah pesawat FA-50 Block 20 yang kemudian dinamakan FA-50M dianggarkan bernilai RM4 billion pada LIMA 2023. Varian FA-50M adalah lebih canggih dan berkeupayaan lebih tinggi berbanding FA-50 yang dimiliki Korea Selatan dan negara lain termasuk Thailand, Filipina dan Indonesia.

KAI FA-50 merupakan antara pesawat tempur yang kini menjadi tumpuan di peringkat antarabangsa. Foto: FOTO: KOREA AEROSPACE INDUSTRIES
Pada masa ini, hanya TUDM dan Tentera Udara Poland memilih varian terkini ‘Fighting Eagle’ ini. TUDM dijangka menerima kumpulan pertama pesawat pejuang tersebut pada akhir tahun 2026 secara berperingkat-peringkat sehingga 2028. Hanya apabila pesawat diterima dan dioperasikan, barulah khidmat pesawat Hawk 100 dan Hawk 200 ditamatkan secara berfasa.
Berbanding Hawk 200, pesawat FA-50M mempunyai ciri-ciri yang lebih baik sesuai dengan kehendak operasi masa kini. Walaupun sebuah LCA, tetapi FA-50M dilengkapi radar AESA, keupayaan peluru berpandu Beyond Visual Range (BVR) dan sistem peperangan elektronik. Varian FA-50M yang diperoleh Malaysia merupakan yang paling moden dengan integrasi sistem senjata moden dan kos operasi yang lebih rendah berbanding pesawat tempur sebenar.
Pesawat FA-50M merupakan platform pelbagai guna yang mampu menjalankan misi serangan ringan, rondaan udara dan latihan lanjutan. Konsep pesawat LCA menawarkan keupayaan tempur yang tinggi pada kos lebih rendah berbanding pesawat tempur bersaiz besar. Perolehan FA-50M dilihat sebagai penyelesaian terbaik dalam mengisi jurang keupayaan sehingga TUDM melaksanakan perolehan pesawat MRCA atau Gen 5.

Jet pejuang KAI FA-50 telah digunakan oleh pelbagai negara termasuk Poland. Foto: FOTO: KOREA AEROSPACE INDUSTRIES
Sebelum ini, pihak KAI menjangkakan rundingan dengan kerajaan Malaysia bagi perolehan Fasa 2 18 pesawat FA-50M bermula pada separuh kedua 2026 dan selesai menjelang awal 2027. Walaupun varian FA-50 bagi Fasa 2 masih belum diperincikan, tetapi adalah lebih baik sekiranya TUDM mengekalkan varian sama iaitu Block 20 atau yang lebih baik. Ini menjadikan perolehan Fasa 2 sebagai kesinambungan daripada kumpulan Fasa 1 FA-50M.
Mempercepatkan program FA-50M Fasa 2 bukan semata-mata satu pembelian, malah untuk memastikan rancangan membangunkan ekosistem industri aeroangkasa termaju dapat dijayakan di Malaysia. Ini kerana pihak KAI turut menawarkan potensi untuk pembangunan industri pertahanan bersama di Malaysia, termasuk pemindahan teknologi.
Antara yang pernah disentuh sebelum ini semasa fasa perbincangan perolehan ialah menawarkan pemasangan sebahagian pesawat FA-50M atau komponennya di Malaysia. Turut dibincangkan ialah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pembangunan MRO bagi pesawat T‑50/FA‑50. Ini membolehkan Malaysia menawarkan khidmat penyelenggaraan pesawat varian sama kepada pengguna serantau.
Korea Selatan, melalui KAI menawarkan pakej yang melangkaui hanya jualan pesawat dengan memberikan peluang kerjasama industri, pemasangan tempatan dan penglibatan syarikat Malaysia dalam aspek teknikal dan penyelenggaraan. Ini berupaya membina kapasiti dan ekosistem pertahanan tempatan yang mampan.

Sekiranya perolehan F/A-18 Hornet Kuwait menghadapi kekangan tersendiri, perolehan FA-50M Fasa 2 perlu disegerakan, Foto: FOTO: KOREA AEROSPACE INDUSTRIES
Dalam pertemuan pada peringkat pemimpin negara pula, Malaysia dan Korea Selatan telah bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor pertahanan termasuk siber keselamatan, latihan bersama dan pembangunan industri pertahanan.
Perjumpaan pada peringkat kementerian pertahanan turut diadakan untuk memperluas hubungan strategik antara kedua negara . Dengan banyak manfaat bakal diterima melalui pembelian pesawat FA-50M menerusi kerjasama dengan Korea Selatan, lantas mengapa tidak disegerakan pembelian seterusnya. – airtimes.my
Nota: Penulisan ini merupakan pandangan dan analisis penulis. Ia tidak mencerminkan sebarang keputusan atau langkah yang dilaksanakan oleh pihak berwajib
