SUBANG, 11 SEPT – Malaysia terus menunjukkan komitmen dalam usaha mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau melalui kerjasama pelbagai hala yang inklusif serta konstruktif.
Pasukan Augmented Interim Observer Team (IOT) yang ditubuhkan melalui Pengerusi ASEAN, telah diaturgerak ke Kemboja bagi melaksanakan mandat sebagai pemerhati kepada perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.
“Penubuhan Augmented IOT ini dibuat atas jemputan rasmi daripada Kerajaan Kemboja, sementara rundingan antara kedua-dua negara masih diteruskan ke arah pembentukan pasukan pemantau kekal, iaitu ASEAN Observer Team (AOT), seperti yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak dalam Mesyuarat General Border Committee (GBC) pada 7 Ogos 2025,” menurut kenyataan MyJointForce.
Penghantaran pasukan ini melibatkan seramai 10 pegawai tentera daripada pelbagai negara, iaitu terdiri daripada enam pegawai Malaysia, dua dari Filipina dan 2 dari Indonesia.
Dalam pada itu, turut dinyatakan, Brunei serta Singapura dijangka menyertai pada fasa seterusnya.
Difahamkan, sebelum pelaksanaan aturgerak ini, pasukan IOT negara-negara ASEAN yang diketuai oleh Penasihat Pertahanan Malaysia di Phnom Penh telah menjalankan pemantauan awal.
Malaysia turut dipertanggungjawabkan untuk merangka dan membangunkan Terma Rujukan (Terms of Reference – TOR) bagi pelaksanaan Augmented IOT, yang telah dipersetujui oleh pihak Kemboja.
“Misi ini bukan sahaja melibatkan pemantauan teknikal terhadap pematuhan gencatan senjata, malah membawa makna simbolik sebagai lambang solidariti dan komitmen ASEAN dalam menyelesaikan konflik secara aman,” katanya.
Majlis penghantaran Augmented IOT telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Dato’ Pahlawan Zahani bin Hj Zainal Abidin TUDM di Pangkalan Udara Subang.
Penghantaran pasukan ini menggunakan pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), diketuai oleh Brigedier Jeneral Dato’ Pahlawan Asri bin Shukor selaku Ketua Misi dan akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik di Kemboja berhampiran kawasan sempadan.
Augmented IOT merupakan satu usaha sementara yang ditubuhkan bagi melaksanakan tugas pemantauan terhadap perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut merakamkan penghargaan kepada semua negara anggota yang terlibat dalam misi ini, khususnya Filipina dan Indonesia atas sokongan dan kerjasama erat dalam menjayakan pelaksanaan Augmented IOT. -airtimes.my
#Airtimes #AugmentedIOT #ASEAN #ATM #TUDM #Kemboja #Filipina #Indonesia #Malaysia
