Home Pertahanan dan Keselamatan 1,927 Pegawai Kadet PALAPES ditauliahkan di UPM

1,927 Pegawai Kadet PALAPES ditauliahkan di UPM

A+A-
Reset

SERDANG, 13 Sept – Seramai 1,927 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dari 20 universiti awam seluruh negara hari ini berjaya menamatkan latihan dan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam pasukan simpanan Angkatan Tentera Malaysia.

Istiadat Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah PALAPES Universiti Awam Ke-43 berlangsung di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan perkenan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Daripada jumlah keseluruhan, seramai 1,098 pegawai kadet ditauliahkan dalam perkhidmatan darat, 431 dalam perkhidmatan laut dan 398 dalam perkhidmatan udara. Pentauliahan kali ini turut menyaksikan kehadiran seimbang antara jantina dengan 951 lelaki dan 976 wanita.

Majlis juga menyaksikan penganugerahan Pedang Kehormat kepada 39 Pegawai Kadet Terbaik daripada setiap perkhidmatan.

Dalam titah ucapan baginda, Tengku Amir Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pegawai kadet yang ditauliahkan.

“Pentauliahan ini bukan sahaja melambangkan kejayaan peribadi tetapi juga permulaan kepada tanggungjawab besar sebagai pemimpin muda dan perwira simpanan negara” tegas baginda.

Baginda turut berharap ilmu ketenteraan yang diperoleh sepanjang latihan akan melahirkan warganegara yang berdisiplin, berjiwa kesatria serta cintakan tanah air yang berdaulat.

Keberangkatan baginda disambut oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar serta Naib Canselor UPM, Kolonel (Kehormat) Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah.-airtimes.my

#AirTimes #Semasa #PALAPES #RajaMuda #ATM #PasukanSimpanan #Malaysia

Leave a Reply