Home DiskusiDua Ogos bersejarah dua negara: Semangat Merdeka Malaysia dan Hari Kemenangan Turkiye

Dua Ogos bersejarah dua negara: Semangat Merdeka Malaysia dan Hari Kemenangan Turkiye

by M.Daim
A+A-
Reset

Bulan Ogos kelihatan seperti salah satu bulan biasa dalam kalendar Masehi. Namun, bulan kelapan ini mempunyai simbolik tersendiri buat dua bangsa yang terpisah benua tetapi sejiwa dalam semangat perjuangan.

Bagi Turkiye, tarikh tanggal 30 Ogos adalah Hari Kemenangan yang menandakan kejayaan mutlak rakyatnya menewaskan penceroboh asing pada tahun 1922. Sehari kemudian, Malaysia menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, mengenang detik bersejarah lahirnya sebuah negara merdeka pada 1957, yang kemudiannya membawa kepada pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

Menariknya, kedua-dua negara ini telah pun menjalinkan hubungan semenjak era Kesultanan Melayu dan juga Empayar Uthmaniyyah. Hubungan diplomatik era moden pula bermula pada tahun 1964.

Kebetulan tarikh yang hanya berselang sehari ini seakan suatu ketentuan. Ia seolah-olah mengikat dua kisah perjuangan dalam satu naratif sejagat. Walaupun bentuk perjuangannya berbeza, tekad yang dipegang adalah sama, iaitu membebaskan tanah air daripada belenggu kuasa luar.

Selepas kekalahan Empayar Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama, Turkiye berdepan percubaan membahagi-bahagikan tanah airnya melalui Perjanjian Sèvres. Wilayah strategik Turkiye telah dikuasai oleh Britain, Perancis dan Itali. Pada masa yang sama,  tentera Greek mara jauh ke dalam Anatolia dengan sokongan sekutu.

Di saat menelan kepahitan kekalahan Perang Dunia Pertama dan runtuhnya Empayar Uthmaniyyah, penaklukan kuasa asing umpama satu percubaan yang getir buat Turkiye.

Dalam keadaan genting sebegini ini, rakyat Turkiye bangkit di bawah pimpinan Mustafa Kemal Atatürk.

Pertempuran sengit berlaku antara 1919 hingga 1922, yang  dikenali sebagai Perang Kemerdekaan Turkiye. Detik penentu berlaku pada 30 Ogos 1922 di Dumlupınar, apabila pasukan Turkiye menewaskan tentera Greek yang jauh lebih besar dari segi kekuatan ketenteraan.

Kemenangan itu mengakhiri cubaan kuasa asing untuk menakluk Anatolia, sekali gus membuka jalan kepada lahirnya Republik Turkiye moden pada tahun 1923.

Malaysia pula menempuh jalannya dengan cara berbeza. Usaha menuntut kemerdekaan dipacu melalui rundingan politik dan kesepakatan pemimpin pelbagai kaum. Walaupun pada ketika itu tanah air diancam dengan pemberontakan komunis, 31 Ogos 1957, laungan merdeka bergema di Stadium Merdeka, menandakan berakhirnya penjajahan British.

Walaupun senario agak berbeza dengan Turkiye, perjuangan Malaysia tetap sarat dengan pengorbanan, kebijaksanaan dan tekad mempertahankan maruah bangsa.

Daripada latar sejarah yang berbeza, kedua-dua negara berkongsi nilai sejagat yang sama. Kedaulatan dipandang sebagai hak mutlak, keutuhan bangsa menjadi tiang seri negara, manakala semangat berdikari pula dilihat sebagai asas pembangunan.

Nilai-nilai ini bukan sahaja menjadi pengikat antara Malaysia dan Turkiye, malah membentuk identiti bangsa masing-masing. Ia membuktikan bahawa perjuangan untuk kebebasan bukan sekadar peristiwa sejarah, tetapi warisan yang terus menghidupkan patriotisme rakyat hingga ke hari ini.

Sejak hubungan diplomatik moden dimeterai pada 1964, Malaysia dan Turkiye telah menempuh pelbagai fasa. Kini, kedua-duanya berada dalam era yang boleh digelar sebagai Zaman Keemasan (Golden Age), lebih-lebih lagi selepas Kerangka Kerjasama Komprehensif Strategik (Comprehensive Strategic Partnership, CSP) berjaya dicapai kedua-dua negara tahun 2022.

Hubungan ini dipacu oleh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan, perdagangan, pendidikan dan budaya.

Turkiye bukanlah negara yang asing di Malaysia. Sebelum ini, DNA teknologi pertahanan Turkiye telah pun bertapak dalam dunia pertahanan Malaysia. Sebagai contoh, kereta perisai ACV-300 Adnan dan juag AV8 Gempita.

Kini, perolehan pertahanan dan keselamatan Malaysia dari Turkiye turut merangkumi perolehan Kapal Littoral Mission Ship Batch 2 (LMSB2), perolehan pesawat tanpa pemandu (UAV) Anka, serta pembinaan kapal MPMS untuk Maritim Malaysia.

Malaysia pula melihat Turkiye sebagai rakan yang boleh dipercayai untuk memperkukuh keupayaan jangka panjang. Dari sudut perdagangan, hubungan ekonomi terus mencatat pertumbuhan yang konsisten. Di samping itu, pertukaran pelajar, seni dan warisan Islam memperkayakan lagi hubungan rakyat dengan rakyat.

Lawatan rasmi pemimpin tertinggi kedua-dua negara kebelakangan ini turut menegaskan kesediaan untuk memperkukuh kerjasama. Ia menjadikan hubungan Malaysia–Turkiye bukan sahaja kukuh di peringkat rasmi, malah akrab di peringkat akar umbi.

Kerjasama Malaysia dan Turkiye turut terserlah di peringkat global. Kedua-dua negara sering berpadu suara dalam memperjuangkan isu Palestin, serta mengangkat martabat dunia Islam melalui Pertubuhan Kerjasama Islam. Peranan mereka di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga memperlihatkan keserasian pandangan terhadap isu keamanan dan keadilan antarabangsa.

Malaysia dan Turkiye sering dianggap sebagai kuasa tengah yang berpengaruh. Dengan asas hubungan yang erat, kedua-duanya berupaya mempengaruhi naratif antarabangsa dan menawarkan jalan penyelesaian terhadap cabaran global yang semakin kompleks.

Menoleh  kepada dua tarikh bersejarah ini, jelas bahawa 30 Ogos dan 31 Ogos bukan sekadar hari sambutan tahunan. Ia adalah simbol perjuangan yang hidup, lambang keberanian dan tekad yang merentasi sempadan geografi.

Bagi Malaysia dan Turkiye, dua tarikh ini menjadi cerminan nilai yang dikongsi serta semangat yang diwarisi. Ia membuktikan bahawa meskipun berbeza jalan, matlamat yang dituju tetap sama, iaitu kebebasan dan kedaulatan.

Hubungan kedua-dua negara yang kini melalui zaman keemasan wajar dijadikan asas kerjasama jangka panjang. Semangat perjuangan yang diraikan setiap Ogos seharusnya menjadi penggerak untuk memperkukuh keamanan, kemajuan dan kemakmuran bersama. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply