Home Pertahanan dan Keselamatan Keamanan hari ini hasil jasa pejuang dan anggota pertahanan – Khaled Nordin

Keamanan hari ini hasil jasa pejuang dan anggota pertahanan – Khaled Nordin

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Keamanan, kebebasan dan kemerdekaan yang dinikmati rakyat Malaysia hari ini adalah hasil pengorbanan para pejuang kemerdekaan serta anggota pertahanan negara yang tidak pernah mengenal erti penat lelah dalam menjamin keselamatan tanah air.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, nikmat kemerdekaan yang kekal hingga kini berlaku tanpa perlu rakyat mengangkat senjata kerana asas kukuh yang ditinggalkan oleh wira negara terdahulu.

“Jangan sesekali kita melupakan pengorbanan mereka. Tanpa mereka, mana mungkin kita dapat menikmati kebebasan dan kemerdekaan ini,” katanya dalam hantaran di laman media sosialnya, pada Sabtu.

Beliau turut menyeru rakyat agar menghayati semangat patriotik bangsa dengan menzahirkan penghargaan dan rasa terima kasih atas jasa mereka.

“Sempena Hari Kebangsaan, ambil peluang untuk menghayati semangat para pendiri bangsa dan wira negara. Zahirkan penghargaan dan rasa terima kasih atas segala jasa mereka,

“Kepada seluruh rakyat Malaysia, saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-68. Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni,” ujarnya lagi.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini disambut penuh meriah di Putrajaya dengan kehadiran ribuan rakyat yang menyaksikan perarakan aset ketenteraan, kontinjen beruniform serta persembahan kebudayaan yang melambangkan semangat perpaduan dan kekuatan negara.

Bertemakan Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni, sambutan bermula jam 8 pagi dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang berkenan memandu sendiri Proton Satria Neo R3 bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba di Dataran Putrajaya pukul 7.50 pagi bagi meraikan Sambutan Hari Kebangsaan 2025 bersama-sama rakyat Malaysia.-airtimes.my

#pertahanan #airtimes #HariKebangsaan2025 #Malaysia #ATM

Leave a Reply