JAKARTA, 28 Mei – Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, berkata republik itu bersedia menjalin hubungan diplomatik dengan Israel sekiranya negara Yahudi tersebut mengiktiraf kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron, semasa lawatan rasmi pemimpin Perancis itu ke ibu negara Indonesia.
“Penyelesaian dua negara dan kebebasan untuk Palestin merupakan satu-satunya jalan ke arah keamanan yang hakiki. Kita juga mesti mengiktiraf dan menjamin hak Israel sebagai sebuah negara berdaulat yang memerlukan keselamatan yang terjamin”,
“Indonesia telah menegaskan bahawa sebaik sahaja Israel mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka, maka Indonesia bersedia untuk membuka hubungan diplomatik dengan Israel,” kata Prabowo.
Indonesia, sebagai negara majoriti Muslim terbesar di dunia, sehingga kini tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik rasmi dengan Israel.
Walau bagaimanapun, kedua-dua negara telah menjalin kerjasama tidak rasmi dalam bidang perdagangan, pelancongan, dan pertanian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Menurut beberapa laporan, kerjasama dalam sektor pertanian telah memainkan peranan penting dalam usaha mempererat hubungan antara Jakarta dan Tel Aviv, dengan Prabowo memainkan peranan utama dalam rundingan awal sejak akhir 2021.
Di bawah pentadbiran Presiden terdahulu, Joko Widodo, Indonesia dilaporkan mengamalkan hubungan bersifat tertutup dengan Israel, khususnya dalam urusan perdagangan.
Namun, pentadbiran tersebut secara konsisten mengelak daripada sebarang bentuk pengiktirafan rasmi terhadap negara Israel.
Pada tahun 2023, terdapat laporan bahawa Jakarta sedang mempertimbangkan langkah ke arah normalisasi hubungan dengan Israel sebagai sebahagian usaha untuk melicinkan kemasukan Indonesia ke dalam Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).
Namun begitu, perancangan tersebut dikatakan tergendala susulan serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober, yang mencetuskan konflik berskala besar di wilayah tersebut.
Indonesia secara tradisinya merupakan antara penyokong paling lantang terhadap perjuangan rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.
Sokongan terhadap Palestin kekal tinggi dalam kalangan rakyatnya, dan bantahan terhadap dasar-dasar Israel kerap dianjurkan oleh masyarakat sivil serta pertubuhan bukan kerajaan di negara itu.-airtimes.my
#AirTimes #Solidariti #Indonesia #Palestine #Israel




















